MU tak sabar jadikan Spurs mangsa
Manchester United bertekad mahu meneruskan rentak positif dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan melakar kemenangan ke atas Tottenham Hotpsur 20 Jun ini.
Pertahanan kiri United, Luke Shaw berkata, The Red Devils sedang kembali membentuk pasukan yang lebih mantap ketika ini selepas liga berehat panjang sejak Mac lalu akibat pandemik Covid-19.
"Ia adalah satu perlawanan yang penting dan saya fikir semua pemain di kedua-dua pasukan sedang bersedia sepenuhnya. Sudah tentu ia akan menjadi perlawanan yang sengit dan dinantikan.
"Dalam sesi latihan, kami sangat tajam, sangat cergas, dan sedia bermain. Kami menantikan perlawanan itu. Kami cuma harus meneruskan apa yang sudah dilakukan sebelum ini dan cuba mencuri slot ke Liga Juara-Juara," katanya.
United menikmati perjalanan positif dalam saingan liga sebelum saingan ditangguhkan dan dijadualkan bersambung semula minggu depan.
The Red Devils tidak pernah kalah dan meraih lapan kemenangan dalam 11 perlawanan terakhir dan bertekad meneruskan rentak positif itu ketika menentang Spurs.
Tiga mata sudah tentu menjadi sasaran United untuk memperbaiki kedudukan liga dengan pasukan gergasi Inggeris itu kini berada di tempat kelima dan hanya dibezakan tiga mata dengan Chelsea di kedudukan keempat.
"Pemain kami juga bertambah baik dengan Marcus Rashford yang mengalami cedera sejak awal tahun ini sudah pulih.Kami tidak hanya mencetak banyak gol, tetapi bermain baik secara bertahan.
"Banyak pasukan yang sukar untuk menewaskan kami dan kami perlu terus mengingat apa yang sudah kami lakukan sebelum ini.
"Kami juga memiliki skuad yang lengkap sekarang. Jadi, harap dapat pergi lebih jauh dengan kemasukan semula pemain yang cedera sebelum ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!