Korean Air lanjut cuti tanpa gaji kru kabin
SEOUL - Korean Air Lines Co. pada Khamis melanjutkan cuti tanpa gaji kepada kru kabin sebagai langkah mengatasi penurunan mendadak permintaan perjalanan udara, di tengah-tengah penularan Covid-19.
Syarikat penerbangan terbesar Korea Selatan itu berkata kakitangan yang sudah berkhidmat sekurang-kurangnya dua tahun boleh mengambil cuti tanpa gaji, minimum enam bulan hingga setahun mulai 1 Julai, lapor agensi berita Yonhap.
Korean Air telah menangguhkan lebih 90 peratus penerbangannya. Syarikat itu kini mengendalikan 101 penerbangan seminggu di 26 laluan antarabangsa, penurunan lebih 900 penerbangan di 112 laluan.
Minggu lalu, Korean Air berkata, juruterbang asing juga akan mengambil cuti tanpa gaji.
Pada Mac, syarikat itu menawarkan program cuti tanpa gaji secara sukarela kepada pekerjanya untuk tempoh sehingga tiga bulan.
Pada April pula, 70 peratus daripada 20,000 petugas memperoleh cuti berbayar selama enam bulan dan syarikat sedang dalam proses menjual aset bukan teras untuk mengatasi masalah aliran tunai. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!