Aspek pematuhan SOP Kompleks Pasar Meru dinilai
KLANG - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menjalankan penilaian tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Kompleks Pasar Meru serta beberapa premis sekitar di sini hari ini.
Pemeriksaan yang dijalankan penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Selangor itu difahamkan bagi menilai beberapa peraturan yang ditetapkan sebelum pasar itu dibenarkan beroperasi semula.
Pemeriksaan melibatkan tiga bangunan Kompleks Pasar Awam Meru dan 17 premis sekitar yang ditutup sebelum ini.
Difahamkan Pengarah JKNS, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman akan memberi kenyataan media berhubung kebenaran untuk pasar awam dan premis sekitar beroperasi.
Terdahulu, tiga bangunan Kompleks Pasar Meru di sini dan 17 premis perniagaan di sekitarnya diarah tutup serta-merta selama tujuh hari baru-baru ini.
Ketua Operasi Bersepadu Agensi Penguat kuasa Pematuhan SOP Pembukaan Semula Ekonomi JKNS, CT Zawiah Ab Ghani berkata, penutupan kesemua tiga blok bangunan kompleks pasar itu dan premis sekitarnya dilakukan selepas dikesan beroperasi dengan tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditetapkan.
“Pemeriksaan kami juga mendapati pengurusan pasar ini tidak menyediakan cecair sanitasi tangan di lokasi sepatutnya, proses nyahcemar tidak dijalankan setiap hari dan bacaan suhu badan hanya diperiksa ke atas pengunjung sahaja, tidak termasuk pekerja.
“Disebabkan itu, JKNS menutup kompleks pasar itu serta merta hari ini termasuk 17 premis peruncit dan pemborong di sekitarnya atas kesalahan sama iaitu sesak dan tiada jarakkan sosial," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!