Perak perkenal skim bantu pekerja terkesan Covid-19
IPOH - Kerajaan Perak memperuntukkan RM4.3 juta bagi melaksanakan Program Transformasi Tenagakerja bagi membantu 1,500 peserta yang hilang pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, program itu adalah salah satu inisiatif di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Negeri Fasa ke-2 bagi membantu golongan yang terkesan akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, program itu dilaksanakan menerusi tiga kategori skim latihan yang memberi manfaat kepada pekerja dan majikan termasuk menerima elaun berjumlah RM500 dan RM800.
“Skim Peralihan Tenagakerja dikhususkan kepada pekerja yang telah diberhentikan dengan fokus kepada kemahiran baharu untuk ditempatkan di industri yang menawarkan peluang pekerjaan.
“Skim Pengekalan Tenagakerja pula adalah langkah migitasi kerajaan negeri membantu para majikan mengekalkan pekerja khususnya sektor pelancongan, perkhidmatan dan pembuatan.
“Latihan Peningkatan Kemahiran ditawarkan khas kepada pemandu pelancong dan ‘beach boy’ bagi membantu mempelbagaikan kemahiran sedia ada dalam menghadapi normal baharu pasca pandemik,” katanya pada sidang media di Pejabat Menteri Besar di sini hari ini.
Ahmad Faizal berkata, permohonan kesemua skim itu dibuka bermula 15 Jun 2020.
“Permohonan menerusi dalam talian atau manual. Borang pendaftaran akan diedarkan oleh Jawatankuasa TVET Perak serta Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak).
“Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Tenaga Kerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi menangani isu ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut memuji insiatif yang diambil kerajaan dalam meningkatkan daya pelaburan negara sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Syabas kepada Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) di atas pengenalan galakan elaun cukai pelaburan sebanyak 100 peratus bagi tempoh lima tahun kepada syarikat sedia ada yang memindahkan fasiliti pengilangan mereka dari negara lain ke Malaysia.
“Selain itu, pengenalan galakan cukai kosong peratus selama 10 tahun bagi pelaburan baharu dalam sektor pengilangan dengan pelaburan dalam harta tetap dari RM300 juta hingga RM500 juta adalah langkah terbaik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!