Bapa lapor polis dakwa sering diugut anak

Gambar kecil: Baharudin
Gambar kecil: Baharudin
A
A
A

DUNGUN - Seorang lelaki membuat laporan polis kerana tidak tahan lagi dengan sikap anak lelakinya yang suka mengugut untuk merosakkan harta benda jika tidak diberikan wang.

Mangsa berusia 58 tahun nekad bertindak demikian selepas menerima panggilan daripada suspek yang berusia 20- an, mengugut mahu merosakkan harta benda di rumah mereka di Kampung Bukit, Kuala Terengganu semasa berada di tempat kerjanya di Bandar Al-Muktaffi Billah Shah, di sini.

Menurut sumber, lelaki yang bekerja sebagai pengurus projek itu mendakwa menerima panggilan daripada suspek memaksa agar memasukkan duit belanja ke dalam akaunnya pada Khamis lalu.

Sumber berkata, mangsa mendakwa anaknya itu turut mengeluarkan kata-kata ugutan untuk merosakkan barang-barang di dalam rumah termasuk kereta dan motosikal sekiranya tidak mahu berbuat demikian.

"Mangsa mengakui selama ini dia yang menanggung semua perbelanjaan kehidupan suspek kerana anaknya tidak mahu bekerja meskipun selalu dipaksa berbuat demikian.

"Suspek dipercayai terlalu leka dengan kehidupannya bermain judi dalam talian dan setiap kali memerlukan wang, dia akan memaksa mangsa memberikan wang selain mengugut merosakkan semua harta benda. Sebelum ini suspek dipercayai pernah berbuat demikian dengan merosakkan kenderaan di rumah selepas tidak berpuas hati permintaannya untuk mendapatkan wang tidak ditunaikan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut sumber lagi, mangsa yang sebelum ini memang selalu memenuhi permintaan suspek tidak lagi berbuat demikian kerana ingin melihat anak lelakinya itu berubah.

"Namun, tindakan mangsa mengundang marah suspek sebelum bertindak mencuri barang-barang berharga milik adik-beradiknya yang lain termasuk peralatan komputer.

Artikel Berkaitan:

"Tidak tahan lagi melayan perbuatan suspek yang dilihat semakin menjadi-jadi selain bimbang keselamatan diri serta ahli keluarga pada masa akan datang, mangsa membuat laporan polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!