Mahu pinjam RM50,000 tapi rugi RM40,906
BUTTERWORTH - Seorang pekerja kilang kerugian RM40,906 selepas terperdaya dengan sindiket pinjaman wang tidak wujud di laman Facebook.
Mangsa yang juga wanita berusia 53 tahun itu dikatakan tertarik dengan iklan pinjaman wang ditawarkan sebuah syarikat berlesen di laman sosial berkenaan sebelum dia menghubungi ejen bagi membuat pinjaman.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa diminta untuk membuat bayaran pemprosesan pinjaman menerusi lima akaun bank untuk menerima wang pinjaman RM50,000 yang telah diluluskan.
Menurutnya, mangsa telah memasukkan RM40,906 ke dalam lima akaun bank sebagaimana diminta ejen berkenaan untuk tujuan proses bagi mendapatkan wang pinjaman tersebut.
"Mangsa hanya sedar ditipu apabila ejen masih meminta untuk buat bayaran tambahan lagi.
"Mangsa yang mula curiga terus membuat semakan dengan pihak polis dan sedar mangsa telah ditipu scammer. Mangsa telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Sementara itu dalam kes berasingan, Noorzainy berkata, seorang pekerja kilang kerugian RM8,000 dipercayai terperdaya dengan sindiket Macau Scam.
Lelaki berusia 38 tahun itu dikatakan menerima panggilan daripada Mahkamah Labuan yang memaklumkan dia perlu hadir ke perbicaraan di Mahkamah Labuan.
"Mangsa yang terkejut beritahu tidak tahu tentang hal ini dan panggilan kemudian disambungkan kononnya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Labuan.
"Setelah disoal siasat oleh sarjan dari IPK Labuan, mangsa telah serahkan maklumat bank miliknya bagi tujuan siasatan tanpa menyedari ia hanyalah taktik untuk membuat pindahan wang daripada akaun miliknya.
"Mangsa hanya sedar ditipu apabila semakan di akaun banknya mendapati RM8,000 telah dipindahkan ke akaun bank pihak lain," katanya.
Katanya, kedua-dua kes berkenaan kini dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Noorzainy turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket Macau Scam yang membuat panggilan palsu.
"Jangan sesekali mudah percaya dengan panggilan yang mengaku sebagai pihak mahkamah atau pihak polis" katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!