Penganggur didakwa tumbuk, lecurkan jari isteri
MELAKA - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya dengan cara menumbuk pipi dan mengakibatkan jari mangsa melecur, minggu lepas.
Mohd Iman Salim, 32, yang merupakan bapa kepada dua anak membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Teoh Shu Yee.
Lelaki itu didakwa sengaja mendatangkan cedera dengan menumbuk pipi kiri dan mengakibatkan jari kelingking kanan mangsa yang berusia 26 tahun melecur kerana terkena cerek panas, di dapur rumah di Kampung Tanah Merah Jaya, Tanjung Kling di sini, pada 11 malam, 1 Jun lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan itu dikurangkan atas alasan dia tidak bekerja.
Majistret Shu Yee membenarkan Mohd Iman diikat jamin RM1,800 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu dia tidak boleh mengacau ganggu isterinya.
Mahkamah menetapkan 23 Julai depan untuk sebutan semula kes. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!