Malaysia Airlines ingatkan pelanggan mengenai laman web palsu
KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines mengingatkan pelanggan yang ingin membuat tempahan penerbangan, dengan syarikat penerbangan tersebut mengesahkan bahawa URL adalah di www.malaysiaairlines.com untuk memastikan kesahihan laman tempahan itu.
Syarikat penerbangan itu berkata, ia menyedari pencarian untuk “Malaysia Airlines” menerusi Google akan membawa pelanggan ke laman web palsu dengan kadar tambang yang tidak betul.
Dalam satu kenyataan hari ini, Malaysia Airlines berkata, perkara itu mendapat perhatiannya apabila ia menerima tangkapan skrin jadual tambang syarikat penerbangan itu yang tidak selaras dengan sistemnya.
Baru-baru ini, syarikat penerbangan itu mengumumkan peningkatan penerbangan domestik dan antarabangsanya, masing-masing mulai Jun dan Julai, untuk memudahkan perjalanan penting dalam negara dan berikutan negara lain yang mula menarik balik sekatan sempadan.
Penumpang yang mencari penerbangan di Malaysia Airlines boleh menempah tiket mereka di laman web rasmi syarikat penerbangan itu di https://www.malaysiaairlines.com/my/en.html atau melalui aplikasi mudah alih dan ejen-ejen yang dilantik syarikat penerbangan tersebut.
Ia turut menggesa penumpang untuk melakukan daftar masuk secara dalam talian atau mudah alih untuk mengurangkan interaksi dan mengelak untuk beratur di lapangan terbang, terutamanya mereka yang melakukan perjalanan di laluan domestik dan serantau.
Penumpang juga diingatkan untuk menyemak syarat masuk dan keluar sebelum perjalanan mereka dengan sekatan perjalanan yang masih dikuatkuasakan di kebanyakan negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!