Isu tarian: Acara babitkan ketua hakim cetus kegusaran
SHAH ALAM - Acara tarian pada Malam Gala Tahun Perundangan 2019 yang membabitkan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum mencetus kegusaran ramai.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini kerana rakyat begitu mengharapkan idealisme Malaysia Baharu melibatkan ahli politik dan seluruh jentera kerajaan, selain sistem perundangan dan kehakiman mempunyai nilai integriti tinggi, iaitu 'lebih putih daripada putih'.
Namun selepas melihat acara itu, katanya, majoriti rakyat khuatir keadaan 'lebih putih daripada putih' itu menjadi semakin kelabu.
"Bila melihat suasana acara santai tersebut, majoriti rakyat khuatir keadaan 'lebih putih daripada putih' itu menjadi semakin kelabu. Paling merisaukan rakyat adalah kehadiran dan keterlibatan Ketua Hakim Negara.
"Sejarah membuktikan bahawa Ketua Hakim sentiasa sahaja berada di bawah radar pemerhatian rakyat. Pada suatu ketika, waima percutian Ketua Hakim sekalipun, dipertikaikan rakyat dan media," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Video tarian hakim, menteri cetus kebimbangan badan kehakiman]
Kelmarin, tular sebuah klip video menunjukkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong bersama Richard, Peguam Negara, Tommy Thomas dan peguam kontroversi, Siti Zabedah Kassim atau Siti Kassim menari mengikut rentak lagu pada malam Majlis Makan Malam Pembukaan Tahun Perundangan 2019: Keadilan Menuju Kehadapan.
Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, dalam perkara ini, isunya bukan sama ada mereka menari satu atau setengah lagu, namun yang menjadi pertikaiannya adalah tiada garis pemisah di antara mereka.
"Setahu saya, apa yang berlaku sememangnya melanggar Kod Etika Hakim (2009). Ianya mewujudkan kesangsian dan salah tanggap yang sangat nyata. Malaysia baharu tidak boleh menerima kecuaian begini.
"Para hakim sewajarnya menolak ketidaksopanan dan gambaran ketidaksopanan dalam pergaulan mereka. Saya yakin, Ketua Hakim tidak terkecuali daripada kod etika ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!