Kompleks Pasar Meru dibenarkan beroperasi semula

Sha'ari Ngadiman
Sha'ari Ngadiman
A
A
A

KLANG - Sebanyak 16 daripada 20 premis termasuk Kompleks Pasar Meru dibenarkan beroperasi semula setelah pemeriksaan semula dijalankan di semua premis terbabit di sekitar Jalan Meru hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan semula ke atas premis perniagaan di sekitar Jalan Meru, Klang yang diarahkan tutup pada 5 Jun lalu.

"Hasil operasi yang bermula sejak jam 9.30 pagi sehingga 1 tengah hari, sebanyak 16 daripada 20 premis telah diberi kebenaran untuk beroperasi semula kerana telah mematuhi semua arahan diberikan.

"Pemeriksaan susulan dijalankan bagi memastikan semua arahan kerja yang telah diberi semasa penutupan premis dipatuhi oleh pemilik premis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi berkenaan diselaraskan oleh Unit Inspektorat dan Perundangan JKNS dengan kerjasama oleh Pejabat Kesihatan Daerah Klang dan Pejabat Kesihatan Pelabuhan Klang.

"Sebanyak empat premis tidak dibenarkan beroperasi kerana masih belum melaksanakan sepenuhnya arahan yang telah diberikan.

"Sejumlah 16 premis yang diberi kebenaran untuk beroperasi akan dipantau dari masa ke masa untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ingkar SOP: Pasar Meru, 19 premis diarah tutup serta-merta

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, katanya, JKNS bersama pihak polis telah melakukan pemantauan terhadap 1,466 premis perniagaan sejak kerajaan mengumumkan pembukaan semula sektor-sektor ekonomi tertentu pada 4 Mei lalu.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 55 premis telah diarahkan tutup sehingga semua arahan diberikan diambil tindakan," katanya.

Jelasnya, pihaknya akan menjalankan pemantauan secara lebih ketat dari masa ke masa dalam memastikan pematuhan berterusan kepada SOP yang ditetapkan.

"Orang ramai diingatkan supaya terus mematuhi penjarakan sosial satu meter dan menggunakan topeng muka ketika berada di tempat awam serta kerap menggunakan cecair pembasmi kuman dan mencuci tangan.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membawa kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan warga emas semasa mengunjungi tempat tumpuan awam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!