Kerajaan digesa benarkan tadika swasta beroperasi
SHAH ALAM - Pengusaha tadika swasta di negara ini merayu agar kerajaan membenarkan mereka beroperasi semula segera mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan demi kelangsungan operasi tadika yang kebanyakannya sekarang sudah banyak gulung tikar ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
Wakil pengusahanya, Abdullah Munzir Mohd Fauzi berkata, penutupan banyak tadika itu bukan sahaja memberi kesan kepada pengusaha bahkan kepada ibu bapa dan anak-anak.
Katanya, ibu bapa akan berdepan masalah untuk menghantar anak-anak mereka ke tadika bagi membolehkan mereka bekerja disebabkan bilangan tadika yang terhad tambahan pula anak-anak akan mengalami gangguan pembelajaran khususnya bagi yang berumur enam tahun sebagai persediaan untuk kemasukan ke sekolah rendah.
“Kami merayu untuk memulakan operasi tadika bukanlah untuk aspek kewangan semata-mata sebaliknya untuk terus mempertahankan institusi pendidikan ini selepas lebih tiga bulan terpaksa menutup tadika kerana Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) dikuatkuasakan.
“Kami faham dengan SOP yang perlu dipatuhi seperti penjarakkan sosial antara anak didik kami. Sudah tentu bilangan murid dibenarkan bersekolah nanti akan berkurang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.
Abdullah Munzir yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Little Ones International Sdn Bhd yang memiliki rangkaian Tadika Little Ones Eduworld di Selangor, Kuala Lumpur dan Kelantan berkata, SOP yang akan ditekankan pihaknya juga melibatkan amalan pembersihan tangan setiap 30 minit, tiada aktiviti bersentuhan antara kanak-kanak serta SOP-SOP lain yang akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.
“Walaupun pengusaha tadika nanti terpaksa mengeluarkan belanja tambahan untuk menampung kos sanitasi dan operasi tetapi apa yang lebih penting mereka dapat terus menjaga kebajikan ibu bapa dan pekerja mereka.
“Ibu bapa dapat bekerja dengan tenang dan penuh efisien dan kami secara tidak langsung dapat membantu menggerakkan ekonomi negara,” katanya.
Bagi menjaga kebajikan anak-anak dan pekerja, serta kelangsungan perniagaan, terdapat pengusaha tadika mula menukar status kepada pengusaha taska dan juga pusat jagaan kerana kedua-duanya dibenarkan beroperasi.
Menurutnya, keadaan itu membuatkan bilangan pengusaha tadika di negara ini semakin berkurangan sekali gus menambahkan lagi kekurangan pengusaha tadika yang sedia ada.
“Sebelum ini, ada juga pengusaha tadika yang buat kelas dalam talian dan beri diskaun yuran tapi kelas dalam talian tidak berapa berkesan atas beberapa faktor termasuk tiada peranti dan selain kanak-kanak juga perlu dibantu ibu bapa mereka setiap kali ada kelas.
“Pengusaha juga berdepan dengan masalah menampung kos operasi termasuk sewa premis, bil utiliti dan gaji guru serta kakitangan am. Keadaan ini juga telah memaksa kami menutup satu daripada lapan buah tadika serta melepaskan beberapa orang pekerja untuk menguruskan kos operasi,” katanya.
Sehubungan itu, Abdullah Munzir berharap agar kerajaan dapat segera mengeluarkan SOP kepada pengusaha tadika supaya mereka boleh beroperasi semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekarang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!