Majlis Tarian: Nasihat mufti kepada umat Islam...

Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan Dr Mohd Asri Zainul Abidin
A
A
A

SHAH ALAM - Orang Islam tidak wajar menyertai aktiviti tarian di mana wujudnya pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam tarian berkenaan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, umat Islam terikat dengan hukum dan mereka perlu mematuhinya.

“Kepada orang Islam, mereka memang terikat dengan hukum Islam jadi tarian yang bergaul, tarian campur antara lelaki dan perempuan tak wajar dilakukan orang Islam.

“Saya tengok ramai yang terlibat itu (dalam video tarian), banyak yang bukan Islam seperti Ketua Hakim Negara, Peguam Negara.

“Jadi kita nasihatkan orang Islam supaya tidak terlibat, bukan dengan majlis tetapi dengan tarian itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penularan video tarian melibatkan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara, Tommy Thomas dalam satu majlis di Sabah, baru-baru ini.

Tambah beliau, orang Islam sepatutnya tidak melayan sekiranya mereka diminta naik ke pentas menyertai acara tarian sebegitu kerana ia melanggar hukum Islam.

“Orang Islam terikat dengan hukum. Mereka yang bukan Islam, terpulang kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

“Cuma satu saya nak peringatkan kepada orang kenamaan, yang ada kedudukan, mereka kena lebih menjaga kelakuan dan tindak-tanduk mereka melebihi orang biasa.

“Sebab kalau orang biasa, masyarakat tak kisah sangat tapi kalau orang berkedudukan, dia kena jaga lebih sebab mereka menjadi tumpuan mata masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut berkongsi pandangan sama dan berpendapat individu memegang orang penting dalam negara seeloknya mengawal kesantunan di khalayak awam.

Menulis di dalam laman Facebook beliau, Mohd Asri menegaskan kesantunan penting bagi mengelakkan orang awam menganggap mereka ‘tidak menjaga ketertiban’ yang sepatutnya apatah lagi apabila lambang negara dan institusi penting ada di situ.

“Ini kerana, dalam budaya masyarakat kita di Malaysia, hal seperti ini mengundang persepsi yang salah dan menurunkan nilai penghormatan di mata awam.

“Kita ingin berbicara kepada mereka yang patut menjaga status disebabkan kedudukannya atau nilai positif yang ada padanya dalam masyarakat dan negara. Hal ini mesti diberikan perhatian tanpa mengira latar politik dan kefahaman,” katanya.

Semalam, video tarian melibatkan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara dalam satu majlis di Sabah tular dalam media sosial dan insiden itu menerima reaksi negatif termasuk dariapada beberapa pemimpin pembangkang dan kerajaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!