Kali pertama guna sikat selepas 24 tahun berimej botak
PERLAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu telah mengajar Merak Jalanan bagaimana menggunakan sikat. Buat julung kalinya, Merak Jalanan memasukkan sikat sebagai barang penting dalam aktiviti kehidupan harian.
Sebelum ini, Merak Jalanan tidak pernah ambil tahu tentang perihal sikat kerana tiada rambut untuk disisir. Sejak berusia 16 tahun lagi Merak Jalanan telah berhenti menyisir rambut kerana memilih untuk berimej botak.
Tahap botak Merak Jalanan itu berubah-berubah mengikut perubahan usia. Umur 16 hingga 24 tahun - mencukur kepala, 25 hingga 30 tahun - gunakan mesin pemangkas rambut nombor kosong manakala 31 hingga 40 tahun pula nombor 1.
Hari ini, Merak Jalanan terpaksa menggunakan sikat. Mahu tidak mahu, kena belajar merapikan rambut.
Bukan tidak mahu potong rambut tapi belum bersedia pergi ke kedai gunting walaupun kerajaan telah membenarkan perniagaan berkenaan beroperasi. Ada juga Merak Jalanan cuba membeli sendiri mesin pemangkas rambut tapi kedai dikunjungi kehabisan stok.
Pada mulanya memang Merak Jalanan rasa tidak selesa berambut panjang tapi selepas 85 hari PKP berlangsung seronok pula melihat penampilan baharu itu. Setiap hari sebelum pergi kerja Merak Jalanan akan habiskan masa di depan cermin menyisir rambut buat gaya belah tepi macam budak baru masuk sekolah.
Alang-alang rambut sudah panjang, elok rasanya kalau Merak Jalanan biarkan sahaja. Sekurang-kurangnya dapat juga tampil dengan imej baharu untuk buat kejutan kepada keluarga apabila pulang ke kampung nanti.
Lagipun, inilah masanya Merak Jalanan lepas geram panjangkan rambut sebab masa sekolah dulu cita-cita tersebut terhalang. Asal rambut panjang sahaja mesti kena potong dengan guru disiplin. Jadi, Merak Jalanan ambil keputusan botakkan sahaja kepala pada ketika itu.
Harap selepas ini rambut Merak Jalanan panjang mengurai macam Datuk Awie masa zaman album kedua Wings iaitu Hukum Karma.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!