Lagi insiden lelaki kulit hitam mati di tangan polis

Rakaman video menunjukkan mangsa bergelut dengan beberapa anggota polis yang menahannya. Gambar kecil: Manuel Ellis. - Foto Agensi
Rakaman video menunjukkan mangsa bergelut dengan beberapa anggota polis yang menahannya. Gambar kecil: Manuel Ellis. - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Seorang lagi lelaki kulit hitam didakwa maut dalam tahanan polis di Amerika Syarikat (AS).

Semalam, Gabenor di Washington mendedahkan satu siasatan baharu dilancarkan ke atas kematian mangsa dikenali sebagai Manuel Ellis yang juga mengeluarkan kata-kata terakhir ‘saya tidak boleh bernafas’.

“Saya yakin siasatan syerif di daerah Pierce ke atas kematian Manuel Ellis sepatutnya belum berakhir. Perlu ada siasatan baharu,” ujar Jay Inslee.

Keputusan itu dibuat Inslee selepas beliau memperoleh rakaman video menerusi kamera televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan Ellis, 33, meraung ketika ditahan dengan tangannya digari anggota Jabatan Polis Tocoma pada 3 Mac lalu.

Terdahulu, klip yang dikemukakan peguam mewakili keluarga mangsa, James Bible menunjukkan Ellis merayu beberapa kali.

“Ellis berkata ‘saya tidak boleh bernafas, tuan’ namun tidak dihiraukan beberapa anggota polis terbabit,” kata peguamnya dalam sidang media pada Selasa lalu.

Keputusan autopsi mendapati Ellis yang merupakan bapa kepada dua orang anak meninggal dunia akibat hipoksia dan meronta dengan kuat selain masalah jantung yang dialaminya.

Minggu lalu, Datuk Bandar Tacoma, terletak kira-kira 56 kilometer di selatan Seattle, menggesa pemecatan anggota polis yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, empat anggota polis terbabit telah digantung tugas dan mereka mendakwa insiden pergelutan tercetus selepas Ellis ditahan kerana cuba memecahkan pintu sebuah kereta.

Pada 25 Mei lalu, George Floyd, 46, juga mengeluarkan kata-kata ‘saya tidak boleh bernafas’ ketika seorang anggota polis Minneapolis menindih lehernya dengan lutut sebelum dia meninggal dunia tidak lama kemudian. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!