Ribut kuat: Mesin pam minyak terbalik hempap kereta
BALING - Sebuah mesin pam minyak terbalik dan menghempap sebuah kereta dalam kejadian ribut di Bukit Tinggi, Kupang, 8.30 malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kejadian dipercayai berlaku akibat ribut dan angin kencang di kawasan terbabit.
Menurutnya, bomba menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 8.39 malam dan bergegas ke lokasi sejurus kemudian.
"Setibanya di lokasi dimaklumkan pam minyak di stesen tersebut terbalik menghempap sebuah kereta jenis Proton Waja akibat ribut.
"Tindakan seterusnya ialah memberi khidmat khas dengan mengangkat mesin pam minyak tersebut dengan menggunakan tali dan dialihkan ke tempat yang selamat,"katanya.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan operasi yang disertai anggota Balai Bomba dan Penyelamat Baling itu tamat sepenuhnya pada jam 9.37 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!