Liverpool sesuaikan diri dengan normal baharu
PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mengakui terasa janggal bermain dalam stadium kosong ketika The Reds menumpaskan Blackburn Rovers 6-0 dalam aksi persahabatan di Anfield, semalam.
Menurutnya, para pemainnya perlu cepat menyesuaikan diri dengan keadaan normal baharu tersebut terutama dalam menghadapi saingan liga sebenar yang dijadualkan bermula 18 Jun ini.
"Kami sudah bermain beberapa perlawanan persahabatan dalam stadium kosong sebelum ini. Kami sudah terbiasa dan hampir sepenuhnya dapat menyesuaikan diri. Saya menyukai situasinya.
"Sebelum ini saya berfikir kerana tidak berpengalaman bermain dalam stadium kosong dan ia akan sanggat janggal. Tetapi, kami harus menciptakan atmosfera sendiri dalam setiap perlawanan.
"Kami perlu bersemangat dan sentiasa berfikir positif selain menggangap kami bermain dikelilingi penonton. Itu akan mencipt atmosfera yang dimahukan.
"Sudah tentu Anfield akan berbeza tanpa penyokong. Kita mencintai Anfield kerana penyokong, tetapi sekarang ini situasi yang perlu kita hadapi dan perlu membiasakan diri," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kemenangan ke atas Blackburn, Klopp menyifatkan perlawanan tersebut sebagai ujian penting untuk pasukannya sebelum menghadapi musuh setempat Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada 22 Jun ini.
"Itu bukan cuma latihan, bagi kami, ini adalah ujian yang sangat penting. Kami ingin mencuba kombinasi pemain pemain selama 45 minit, tetapi tidak dapat melakukannya kerana menghadapi beberapa masalah.
"Kami tidak mempunyai pasukan utama yang cukup untuk diturunkan.Itu sebabnya kami menurunkan tiga pemain utama selama 60 minit.
"Kami perlu terbiasa bermain menentang pasukan yang bertahan seperti ini. Permainan Blackburn meningkat, sehingga kami boleh membuat tekanan dan serangan balas. Perlawanan dan jaringan yang bagus buat kami," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!