Kisah unsung hero ke layar perak

No Image Caption
A
A
A

BANGKOK - THAILAND. Pengarah kelahiran Thailand yang hanya mengambil masa selama beberapa minggu untuk penggambaran filem pertama tentang operasi menyelamat dramatik 'budak gua' memberitahu fokus utamanya adalah pada keaslian dan misi 'unsung' hero yang turut menarik minat penerbit buku dan studio Hollywood untuk menerbitkan versi saga mereka.

Menurut Tom Waller, The Cave yang akan ditayangkan pada ulang tahun pertama operasi itu pada Julai depan adalah kisah 'asal' yang diceritakan semula tentang cabaran untuk menyelamatkan kesemua 12 remaja dan jurulatih pasukan Wild Boar dari gua Tham Luang yang ditenggelami air ketika itu.

Aksi Waller ketika mengarahkan filem The Cave di tengah Thailand.
Aksi Waller ketika mengarahkan filem The Cave di tengah Thailand.

Ia menampilkan lebih 10 hero penyelamat sebenar dan beberapa pelakon tambahan seperti tukang masak yang menyediakan makanan ketika pintu masuk gua tersebut menjadi tumpuan media dari seluruh dunia.

Kesemua mereka terperangkap selama lebih dua minggu di dalam gua gelap itu sebelum diselamatkan dalam misi sangat rumit secara berperingkat meredah laluan yang ditenggelami banjir.

Waller yang pernah terlibat dalam penggambaran memoir, The Last Executioner berkata, beliau tidak terfikir akan menerima projek itu.

"Pada mulanya saya melihat ia mungkin akan menjadi tarikan untuk mengaut keuntungan semata-mata," katanya kepada Agence France-Presse ketika ditemui di pejabatnya, De Warrenne Pictures di Bangkok.

Kemudian, Waller mula mengenali kesemua individu yang terlibat dalam operasi itu, semangat sukarelawan dan unsung hero (hero tidak disanjung) yang tidak dipaparkan di dada akhbar.

Artikel Berkaitan:

"Ia hampir cetuskan persoalan sama ada mahu hasilkan filem itu sekarang atau tunggu sehingga Hollywood buat filem itu dan kita menikmatinya seperti orang lain," katanya.

Tidak hanya kaut keuntungan semata-mata

Waller berharap latar belakangnya sebagai anak tempatan akan memberi kelebihan mengatasi para pengarah asing memandangkan cerita tersebut masih segar dalam ingatan mereka yang terlibat.

Wajah gembira kesemua remaja tersebut yang berjaya dibawa keluar dari gua Tham Luang tersebut.
Wajah gembira kesemua remaja tersebut yang berjaya dibawa keluar dari gua Tham Luang tersebut.

Tetapi, cabaran sebenar adalah ketika penggambaran itu.

Gua sebenar, Tham Luang di wilayah Chiang Rai masih tidak dibuka kepada umum.

Jadi, lokasi untuk menunjukkan keadaan gua banjir, situasi klaustrofobia perlu diambil di seluruh negara.

Filem itu juga memaparkan beberapa 'drama' yang telah membawa kepada tindakan undang-undang dan perdebatan di media sosial sebelum ini.

"Orang ramai asyik bertanya, siapa mainkan watak Elon Musk?" jelasnya merujuk kepada jutawan teknologi Tesla yang cuba menyediakan kapal selam mini dan konflik bersama salah seorang penyelam gara-gara status kontroversi yang dimuat naik di Twitter.

Difahamkan, treler filem itu akan dilancarkan di Festival Filem Berlin pada bulan depan.

Kisah itu turut menarik minat banyak pihak yang mahu mengaut keuntungan semata-mata dengan penggiat seni asing yang berlumba-lumba mahu mendapatkan kelulusan Kementerian Kebudayaan Thailand untuk melakukan penggambaran dan menemubual kesemua remaja lelaki tersebut.

Tujuh bulan selepas operasi tersebut, kira-kira enam buku tentang operasi dramatik itu kini telah disenaraikan di Amazon.

Tetapi filem dihasilkan Waller sememangnya boleh dibanggakan kerana tiada tokok tambah sebagai 'pelaris' walaupun mungkin terdapat persaingan dari Hollywood yang bakal menampilkan pelakon kelas A selain plot lebih dramatik.

"Segala-galanya dalam filem itu adalah 100 peratus kisah benar," kata salah seorang penyelam dari Belgium yang turut membintangi The Cave, Jim Warny, 36.

Jelasnya, selepas operasi itu berakhir, ia adalah detik yang sangat tertekan buat pasukan penyelamat kerana mereka dihujani pelbagai tawaran termasuk siri realiti TV.

"Waller telah membina tahap kepercayaan yang tinggi kepada kami kerana filem dihasilkannya adalah realistik. Ramai orang mahu beli hak hidup atau sifat eksklusif tanpa memberi tumpuan kepada cerita sebenar dah hanya menjanjikan bayaran yang banyak.

"Ia adalah sesuatu yang tidak dilakukan Waller," tambahnya lagi. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!