KBG, Taman Warisan FRIM dibuka mulai 1 Julai

Taman Botani Kepong. (Kanan: Taman Warisan FRIM)
Taman Botani Kepong. (Kanan: Taman Warisan FRIM)
A
A
A

KEPONG - Taman Botani Kepong (KBG) dan Taman Warisan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) akan dibuka semula kepada orang ramai mulai 1 Julai ini.

FRIM menerusi perkongsian di Facebook rasminya memaklumkan, waktu operasi KBG dibuka setiap hari dihadkan kepada sesi pagi (7 pagi-11 pagi) dan petang (4 petang-11 petang) sementara Taman Warisan dibuka bermula jam 7 pagi hingga 6 petang.

Kenyataan menyebut, pengunjung perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mendaftar masuk di aplikasi MySejahtera dan warga emas yang berusia 60 tahun ke atas yang mempunyai penyakit kronik atau bergejala tidak dibenarkan masuk.

"FRIM turut menetapkan had maksimum pengunjung bagi satu masa adalah 150 orang dan dibenarkan berada di KBG selama sejam bagi setiap seorang, sementara bagi Taman Warisan FRIM jumlah pengunjung dan tempoh masa dibenarkan tidak dihadkan.

"Kawasan yang dibenarkan adalah di jalan berturap dan dilarang menjalankan aktiviti berkumpulan seperti taichi, zumba atau menggunakan pondok rehat serta fasiliti ‘parcourse’," menurut kenyataan itu.

Kenyataan sama menyebut, kampus utama FRIM kekal ditutup kepada orang ramai sehingga akhir tahun.

"Namun terdapat aktiviti dibenarkan secara bersyarat iaitu lawatan berpandu dengan jumlah peserta dihadkan kepada 10 orang sahaja yang perlu dibuat secara tempahan awal. Selain itu sewaan bilik untuk mesyuarat dan kursus dihadkan 15 orang setiap satu masa.

"Bagi pemegang pas riadah yang tidak berpuas hati dengan penutupan kampus utama FRIM, boleh mendapatkan bayaran balik melalui pemulangan pas yang perinciannya akan dimaklumkan kemudian," memetik kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkongsian sama, FRIM memaklumkan aktiviti fotografi perkahwinan dan sebarang penggambaran komersil serta sewaan basikal tidak dibenarkan sehingga akhir tahun.

Rumah-rumah tetamu, Kem Perah, kawasan perkelahan Sungai Kroh, air terjun, fasiliti sukan (gelanggang badminton, futsal, skuasy, padang bola dan Kelab FRIM) juga ditutup.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!