Pemain perempuan berbakat curi tumpuan
TANJONG KARANG - Pencarian bakat baharu bagi si pemakai jersi Kelab Bola Sepak Tunas Tanjong Karang sempena Pemilihan Terbuka 2019 yang berakhir semalam berjaya menyenaraikan pemain terbaik di daerah ini.
Lebih menarik, bakat peserta perempuan tunggal, Nurdania Batrisya Sahlan, 9, yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sawah Sempadan berjaya diketengahkan dalam pemilihan terakhir kali ini.
Jurulatihnya, Illiyaszaidi Harun berkata, pemilihan kali ini dapat menyerlahkan potensi pemain kanak-kanak perempuan ini sekali gus memeriahkan lagi rakan pemain perempuan lain yang sedia ada dalam kelab.
“Jika dia berumur 9 tahun, mungkin dia boleh masuk kategori 8 atau 7 tahun berdasarkan kemampuan dan kebolehan memandangkan sebelum ini kita ada empat pemain perempuan.
“Sebenarnya ramai juga pemain perempuan yang berbakat tetapi perasaan malu masyarakat setempat menyebabkan mereka lebih ke arah sukan lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, menurutnya, seramai 17 pemain berjaya dipilih dan diketengahkan bagi kategori umur bawah 7 tahun dan 8 tahun bagi pemilihan terakhir di Padang Segemal, Sawah Sempadan.
“Maksimum pemilihan pemain setiap kategori adalah 25 orang bagi membolehkan sekurang-kurangnya seramai 150 kanak-kanak diberi pendedahan kemahiran bola sepak.
“Seramai 50 anak penduduk mengambil bahagian dalam pemilihan terakhir bagi kategori bawah 7 dan 8 tahun namun ada yang datang untuk kategori lain disebabkan tidak dapat datang pada tarikh ditetapkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!