250 sekolah di Perak sedia mula sesi pengajaran
IPOH - Sebanyak 250 sekolah di seluruh negeri bersedia untuk memulakan sesi pengajaran melibatkan 34,150 pelajar Tingkatan Lima dan Enam pada 24 Jun ini.
Exco Pendidikan, Pembangunan Model Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, jumlah itu membabitkan seramai 28,813 pelajar dari Tingkatan Lima, Tingkatan Enam (3,847), Sijil Tinggi Agama Malaysia (456) dan Sijil Vokasional Malaysia (1,034).
“Seramai 2,305 orang pelajar Tingkatan Lima dan Enam pula akan kembali ke asrama. Kesemua akan menjalani sesi persekolahan yang akan bermula dua minggu lagi,” katanya pada sidang akhbar pada lawatan simulasi pengurusan pembukaan semula sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming dan Pengarah Pendidikan Negeri, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali.
Menurutnya, simulasi itu memberi panduan pergerakan pelajar bermula dari pintu pagar hingga ke kelas masing-masing.
Katanya, kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran perlu mendapat kerjasama termasuk peranan ibu bapa dalam mengenalpasti gejala koronavirus (Covid-19) pada anak-anak mereka.
“Tanggungjawab secara keseluruhan melibatkan semua pihak termasuk ibu bapa yang menghantar anak. Namun, kementerian tidak memberi paksaan sekiranya ibu bapa curiga untuk anak mereka datang sekolah.
“Yang mempunyai tanda-tanda Covid-19 tidak digalakkan untuk datang. Pihak sekolah juga akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan mencatat suhu badan iaitu 37 darjah celsius terlebih dahulu,” katanya.
Razman berkata, pelajar perlu mengikut laluan pergerakan terarah yang sudah ditetapkan untuk menuju ke kelas masing-masing dan mengikut penjarakkan sosial iaitu satu meter.
“Setiap bilik darjah maksimum 20 orang malah, pelajar yang membeli makanan tidak dibenarkan makan di kantin tetapi makanan dibawa dan dimakan di kelas masing-masing.
“Pembuangan sisa makanan juga diurus dengan baik. Semua pihak memainkan peranannya dan pelajar perlu memahami SOP ini supaya mereka berada dalam penjarakkan selamat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!