59 PATI ditahan dalam Ops Benteng
JEMPOL - Seramai 59 pendatang asing tanpa izin (PATI) membabitkan 30 warganegara Indonesia, 20 warganegara Bangladesh dan sembilan warganegara India ditahan awal pagi tadi dalam Ops Benteng.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, kesemua individu yang ditahan di sekitar Jempol dalam operasi yang bermula jam 10.30 malam dan berakhir jam 5.30 pagi tadi.
"Operasi dijalankan bagi membanteras kebanjiran PATI selain mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) melibatkan warga asing yang memasuki negara ini secara tidak sah.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c)Akta Imigresen dan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, seramai 38 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol terlibat dalam operasi tersebut.
Mohd Khairiel berkata, tiada berlaku sebarang insiden tidak diingini berlaku susulan ketika serbuan dilakukan semua PATI sedang tidur.
"Kebanyakan yang ditahan adalah pekerja di kawasan ladang di sini dan mereka didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!