Syor Bukit Kwong sebagai lokasi sukan lasak
RANTAU PANJANG - Ikatan Mahasiwa Rantau Panjang (Ikmar) berharap kerajaan negeri atau persekutuan dapat menjalinkan kerjasama untuk memajukan kawasan Bukit Kwong sebagai destinasi sukan lasak.
Presidennya, Mohamad Alimiy Abdullah berkata, kawasan tersebut dilihat mempunyai potensi yang cukup besar kerana ia menjanjikan suasana pendakian mencabar kepada peminat sukan berkenaan.
"Bukan itu sahaja, kawasan Bukit Kwong yang masih belum terusik menjanjikan ketenangan dan kesegaran sekali gus mampu meredakan tekanan setelah penat bekerja.
"Saya percaya jika ada jalinan kerjasama negeri dan pusat, tidak mustahil kawasan ini mampu menjadi lokasi pendakian terkemuka seperti Bukit Broga (Selangor) dan Keluang (Terengganu)," katanya.
Program 'Anok Mudo Rukah Bukit' itu dijayakan oleh seramai 50 peserta dan mendapat kerjasama daripada Jabatan Amal dan Ameerah Rantau Panjang serta Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang.
Menurutnya, bukan itu sahaja kawasan Bukit Kwong menjanjikan pemandangan yang indah dan menjadi satu kerugian seandainya kawasan itu tidak dimajukan.
Beliau berkata, apa yang mereka lakukan ini adalah perintis untuk mempopularkan Bukit Kwong.
Mohamad Alimiy berkata, pihaknya bercadang menjadikan acara mendaki Bukit Kwong sebagai aktiviti bulanan.
Katanya, ini adalah sebahagian daripada bentuk promosi keindahan kawasan berkenaan kepada penduduk setempat.
Mengulas mengenai Anok Mudo Rukah Bukit, Mohamad Alimiy berkata, program tersebut bertujuan mengeratkan hubungan sesama mahasiswa dan anak muda Rantau Panjang.
Katanya, di samping itu Ikmat mahu menggalakkan anak muda agar melakukan aktiviti yang berfaedah dan sihat untuk tubuh badan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!