Kakak Nazrin mohon kubur digali semula

Perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Hassan.
Perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Hassan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kakak sulung kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Cradle Fund Sdn Bhd Allahyarham Nazrin Hassan, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau bersetuju untuk proses penggalian semula kubur adiknya itu, selepas meneliti sijil kematian yang diterimanya.

Saksi pendakwaan ke-21 perbicaraan kes pembunuhan Nazrin, Che Elainee Che Hassan, 63, berkata, beliau turut bersetuju untuk memohon bedah siasat kedua dijalankan ke atas mayat adiknya itu, selepas melihat punca kematian mangsa pada sijil kematian tersebut.

“Saya bersetuju supaya kubur Nazrin digali semula untuk buat bedah siasat kali kedua berdasarkan sijil kematiannya, yang saya dapat sendiri daripada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).

“Ini kerana saya melihat punca kematian yang ditulis (pada sijil kematian) adalah akibat komplikasi letupan, sedangkan siasatan bomba tidak berlaku sebarang letupan (di lokasi kematian Nazrin),” katanya ketika menjawab pertanyaan peguam LS Leonard, berhubung permohonan penggalian kubur mangsa, di hadapan Hakim, Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Che Elainee berkata, sebelum beliau bersetuju supaya kubur Nazrin digali semula, beliau turut berbincang perkara itu bersama dua lagi adiknya dan memakan masa lebih dua minggu, sebelum membuat keputusan berkenaan.

“Saya bincang bersama adik-beradik lama (untuk penggalian kubur Nazrin)...sebab ada masa kami mahu teruskan bedah siasat kedua...ada masa tidak mahu...lebih dua minggu perbincangan itu dibuat.

“Pertikaian saya berhubung punca kematian Nazrin adalah berdasarkan sijil kematian, dan bukan laporan bedah siasat (pertama), kerana saya tidak melihat laporan bedah siasat itu,” katanya yang turut menambah, atas permintaan itu juga Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Oktober 2018, membenarkan polis menggali semula kubur mangsa.

Pada 12 Mac 2019, Samirah Muzaffar, 45, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia yang juga isteri Nazrin, serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 17, dan 14, bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh mangsa.

Artikel Berkaitan:

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Perbicaraan bersambung Jumaat depan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!