UMT anjur kejohanan sukan pelayaran secara maya

Peserta sedang bersaing dalam UMT Terengganu e-Sailing League 2020.
Peserta sedang bersaing dalam UMT Terengganu e-Sailing League 2020.
A
A
A

KUALA NERUS - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan kejohanan sukan pelayaran secara maya buat pertama kali susulan keterbatasan akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Ia merupakan penganjuran pertama dalam sukan pelayaran di peringkat kebangsaan bagi acara e-sport di platform rasmi pelayaran secara maya, ‘Virtual Regatta’.

Penganjuran tersebut dinamakan UMT Terengganu e-Sailing League 2020 dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Terengganu Windsurfing Sailing Association (TWSA).

Bekas pelayar negara, Khairuddin Abdul Ghani berkata, penganjuran itu mampu melepaskan kerinduannya untuk beraksi di gelanggang sebenar.

“Saya mula berjinak-jinak dengan sukan pelayaran sejak berusia 8 tahun. Ketika itu, saya hanya di peringkat 'boat optimist'. Disebabkan masalah kesihatan, impian merangkul kejuaraan di peringkat seterusnya agak kabur.

“Namun setelah mendapat perkhabaran berkaitan penganjuran ini, saya terus jadi bersemangat dan kemahiran yang telah dipelajari suatu ketika dahulu akan digunakan dalam pertandingan kali ini. Sedikit sebanyak ia mampu melepaskan kerinduan dalam sukan pelayaran yang telah lama ditinggalkan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan UMT hari ini.

UMT Terengganu e-Sailing League 2020 bermula hari ini meliputi enam siri penganjuran dengan mengumpulkan 170 peserta dari dalam dan luar negara iaitu 36 peserta institusi pengajian tinggi, dua orang kurang upaya, tiga atlet kebangsaan persediaan Olimpik Road to Tokyo serta dua peserta Indonesia dan dua dari Brunei.

Artikel Berkaitan:

Coach Abdul Rani Idris (kanan) dan Hafizi bertindak selaku komentator bagi kejohanan UMT Terengganu eSailing League 2020.
Coach Abdul Rani Idris (kanan) dan Hafizi bertindak selaku komentator bagi kejohanan UMT Terengganu eSailing League 2020.

Pertandingan terbuka kepada enam kategori iaitu Overall, Tertutup IPT, Bawah 12 tahun, 13 hingga 15 tahun, 16 hingga 21 tahun dan 22 tahun ke atas.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pelayaran UMT, Mohd Hafizi Said berkata, penganjuran sukan itu adalah bagi meningkatkan motivasi pelayar dan sebagai platform pengajaran kepada pelajar serta pelayar muda.

“Antara objektif penganjuran kejohanan secara maya ini adalah untuk meningkatkan motivasi pelayar, atlet dan pelajar universiti yang amat rindukan pertandingan kerana tidak dapat menjalani latihan sebenar akibat Covid-19.

“Ia merupakan peluang terbaik buat para atlet untuk terus berlatih kerana pertandingan ini mirip pelayaran sebenar seperti mengaplikasi pemahaman undang-undang pertandingan, mempraktikkan strategi dan tektikal pertandingan, mengeratkan hubungan antara pelayar.

“Bagi pelajar UMT pula, ujian amali pelayaran yang sepatutnya dilaksanakan di air pada setiap semester telah menggunakan aplikasi Virtual Regatta ini sebagai medium pembelajaran dan latihan baharu dan ini juga menyokong usaha universiti dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian," katanya yang juga pensyarah Fakulti Pengajian Maritim, UMT.

Tambahnya, penganjuran itu juga akan diteruskan walaupun wabak Covid-19 pulih sepenuhnya kerana ia adalah sebahagian usaha awal bagi mencari jaguh e-sport negara yang akan bertanding di kejohanan e-sailing World Championship yang diadakan setiap tahun di peringkat dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!