Bayar sekali, makan dua kali

A
A
A
ALOR SETAR - Apabila ke Bandar Alor Setar, tidak sah jika tidak singgah makan di Restoran Laksa Ikan Sekoq di Taman Wira Mergong, di sini.

Sebut sahaja nama Laksa Ikan Sekoq yang berasal dari loghat tempatan, iaitu seekor, pasti terasa keenakan salah satu menu popular negeri jelapang padi itu.

Kedai makan beroperasi setiap hari bermula jam 11 pagi hingga 7.30 malam berkenaan menawarkan menu istimewa laksa untuk pelanggan.

Pengusahanya, Hasnah Hanafi, 44, berkata, menu laksa dijual pada kadar RM5 sepinggan di kedainya cukup unik dan berbeza, meskipun ada kedai lain turut menjual juadah itu.

"Untuk hidangan pertama, pelanggan berpeluang menikmati sepinggan laksa bersama seekor ikan kembung yang ditambah secara percuma.

"Selain pemberian ikan percuma itu, kami turut mempraktikkan konsep laksa tambahan tanpa mengenakan mengenakan caj bayaran lain bagi hidangan kedua pelanggan," katanya.

Katanya, konsep diperkenalkan mereka berkenaan membolehkan pelanggan menikmati laksa sebanyak dua kali, bagaimanapun hanya membayar sekali sahaja.

Malah, katanya, mereka hanya perlu membayar RM1.50 untuk tambahan ikan kembung dan RM1 untuk telur bagi hidangan kedua ini.

Menurutnya, ada pelanggan juga menambah hingga hidangan ketiga dan keempat kerana amat menggemari laksa dijual di kedai mereka.
Artikel Berkaitan:


Kata Hasnah, bagi hidangan ketiga, pelanggan hanya perlu menambah RM1 sahaja untuk membolehkan mereka terus menikmati hidangan laksa itu.

"Jadi, pelanggan bukan hanya berpeluang menikmati laksa yang enak dan memenuhi selera, malah amat berbaloi kerana harga ditawarkan berpatutan," katanya.

Katanya, konsep itu mendapat sambutan pelanggan kerana ia bukan hanya memberi kepuasan tidak terhingga kepada mereka, malah tiada di tempat lain.

Katanya, tidak dinafikan ada juadah tiruan muncul menggunakan jenama diperkenalkan mereka, bagaimanapun dia yakin ia tidak akan memberi kesan kepada mereka.

"Ia memandangkan kami amat menitikberatkan kualiti laksa disediakan untuk pelanggan, selain menekankan aspek kebersihan.

"Lagipun, menu laksa dijual adalah menggunakan resipi sendiri dihasilkan saya yang juga merupakan hantu laksa, jadi macam mana menu disediakan untuk sendiri makan, macam itulah disediakan untuk pelanggan," katanya.

Hasnah berkata, mereka menggunakan kira-kira 60 kilogram (kg) isi ikan segar pada hari biasa, manakala 100kg pada musim cuti sekolah demi memenuhi permintaan pelanggan.

"Kedai kami mampu memuatkan kira-kira 100 orang dalam satu-satu masa, malah ada ketika kerusi disediakan tidak cukup berikutan ramai pelanggan berbanding kebiasaan," katanya.

Kata ibu kepada anak berusia antara 15 hingga 23 tahun itu, kedai berkenaan diusahakan bersama suami, Mohd Fauzi Man,46, sejak lebih 10 tahun lalu dibantu enam kakitangan.

"Bermula gerai tepi jalan di Jalan Gangsa, di sini, sebelum berpindah ke sebuah premis di kawasan sama, kami akhirnya memiliki kedai sendiri di Taman Wira Mergong," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia turut bersyukur dan seronok apabila nama Laksa Ikan Sekoq menjadi sebutan, yang mana ia juga antara menu popular di Kedah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!