Belanjawan 2021 dibentang 6 November

Dewan Rakyat
Dewan Rakyat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Takwim Majlis Mesyuarat Kedua dan Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 akan menyaksikan beberapa pindaan dengan sesi mesyuarat ketiga Dewan Rakyat dipinda ke tarikh baharu dari 2 November hingga 15 Disember ini.

Menurut Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, selaras dengan itu mesyuarat ketiga selama 27 hari yang akan turut menyaksikan pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 oleh Menteri Kewangan pada 2 Oktober ditunda ke tarikh baharu iaitu pada 6 November ini.

Menurut portal rasmi Parlimen Malaysia, mesyuarat ketiga itu sepatutnya berlangsung dari 28 September hingga 26 November 2020 dengan persidangan berjalan selama 36 hari.

"Pindaan itu dibuat oleh pihak kerajaan selaras dengan Peraturan 11 (2) dan 15 (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi urusan majlis mesyuarat kedua pula, sesi Dewan Rakyat yang ditetapkan berlangsung dari 13 Julai hingga 27 Ogos ini selama 25 hari adalah mengikut jadual asal tetapi Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dijadual pada 6 Ogos ditangguhkan ke satu tarikh baharu yang akan ditentukan kerajaan.

“Penangguhan ini dilakukan setelah kerajaan mengambil kira penularan wabak Covid-19 yang telah memberi kesan terhadap ekonomi negara dan bagi membolehkan kerajaan membuat kajian lebih lanjut serta lebih banyak libat urus dengan pemegang-pemegang taruh dapat dilaksanakan,” katanya.

Mesyuarat kedua, penggal ketiga, Dewan Rakyat itu akan membahaskan usul menjunjung kasih dan perbahasan titah diraja serta rang undang-undang dan urusan kerajaan lain.

Sementara itu, Mohamad Ariff juga berkata, Dewan tidak akan bersidang pada 30 Julai kerana Hari Raya Korban dijangka disambut pada 31 Julai, serta pada 19 dan 20 Ogos kerana awal Muharam pada 20 Ogos.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin akan mengeluarkan notis panggilan mesyuarat dan butiran pindaan takwim itu kepada semua ahli Dewan Rakyat pada hari ini (12 Jun). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!