Kilang proses tali di Senawang musnah dalam kebakaran

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan giat melakukan kerja-kerja pemadaman api di sebuah kilang memproses tali di kawasan Perindustrian Senawang hari ini. - Foto Bernama
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan giat melakukan kerja-kerja pemadaman api di sebuah kilang memproses tali di kawasan Perindustrian Senawang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah kilang memproses tali di kawasan Perindustrian Senawang dekat sini musnah 60 peratus dalam kebakaran petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang PPgB, Azizee Alias berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.04 petang.

"Kilang berkeluasan anggaran 160,000 kaki persegi (14,864.49 meter persegi) itu musnah 60 peratus meliputi bahagian memproses tali serta pejabat. Semasa kejadian kilang itu masih beroperasi.

"Bagaimanapun, kebakaran itu tidak melibatkan mangsa kerana seramai 38 pekerja di situ berjaya menyelamatkan diri, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya, bomba berjaya mengawal api pada jam 4.04 petang dan kini masih melakukan kerja-kerja penyejukan di kawasan kebakaran.

"Punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Seramai sembilan anggota dan pegawai dari BBP Senawang dan bantuan daripada BBP Rembau (dua), BBP Seremban (16) dan lapan anggota dari BBP Seremban 2 mengetuai operasi pemadaman itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!