Binasa kerana mulut

A
A
A

HAKIKATNYA bukan mudah untuk menjaga lisan. Hampir setiap hari, ada sahaja pertuturan kita yang mungkin menyakiti hati orang lain baik secara sedar atau tidak.

Bagi membicarakan hal itu, telah banyak kitab agama dan buku pembangunan diri ditulis untuk menyebarkan impak bencana lisan kepada diri sendiri dan masyarakat.

Namun sebagaimana biasa, tidak ramai yang menyahut seruan untuk memperbetulkan lisan mereka. Akhirnya, hanya menunggu masa untuk dibinasakan di dunia oleh masyarakat dan di akhirat oleh ALLAH.

Sebetulnya, bencana lisan itu kerap berlaku kerana kita tidak berfikir dahulu sebelum berkata-kata. Saya cukup tertarik dengan video pendek yang dikongsi di laman Twitter mengenai temu bual seorang wartawan dengan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkaitan isu rasisme di Amerika Syarikat (AS).

Menerusi video itu, Trudeau didapati mendiamkan diri sambil berfikir selama 10 hingga 15 saat sebelum memberikan komen berkaitan isu tersebut. Didapati komen beliau sedikit pun tidak menyentuh hal ehwal negara AS sebaliknya hanya memberi pandangan bahawa isu rasisme juga boleh berlaku di Kanada jika langkah-langkah pencegahan tidak dilakukan lebih awal.

Pada hemat saya, Trudeau bukan sahaja berfikir sebelum bercakap, namun beliau sebenarnya berbicara dari hati. Berkaitan bercakap dari hati, teringat saya kepada gurindam Melayu yang membicarakan secara halus hal ini iaitu, “Jadilah guru atau pemimpin yang bercakap dari hati dan bukan dari lidah kerana kata-kata di hati akan turun ke hati, manakala kata-kata di lidah akan jatuh ke lidah.”

Adalah jelas, gurindam itu ditujukan kepada para guru dan pemimpin kerana mereka adalah kelompok yang paling penting membawa hala tuju negara ke arah kemakmuran dan kesejahteraan. Kegagalan kedua-dua kelompok itu menjaga lisan akan melahirkan masyarakat miskin jiwa kerana budi bahasa yang cukup rendah.

Nampaknya buat masa ini, fenomena mencerca dan memfitnah sudah melebihi garis sempadan di negara kita. Masih ramai yang tidak segan silu menyakiti orang lain tanpa menjaga lisan mereka.

Artikel Berkaitan:

Malah, tidak cukup dengan lisan, jari-jemari mereka begitu laju menyebarkan keburukan dan fitnah. Apabila terbukti bersalah dengan kenyataan mereka, senjata ‘maaf’ digunakan. Pun begitu, mereka tidak pernah mengambil iktibar daripada kesilapan tersebut.

Akhirnya, meneruskan perbuatan mereka berulang-ulang kali bagi memberi kepuasan kepada diri sendiri serta kelompok mereka.

Lama-kelamaan mereka akan hilang sifat kasih sayang kerana terlalu menegakkan kepentingan diri.

Berkaitan hal itu, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Rasa kasih sayang tidak akan dicabut kecuali daripada orang yang celaka (berbuat keji).” (surah Tirmizi). Ini bermakna, untuk mengekalkan sifat kasih sayang, kita perlu jauhkan daripada bencana lisan serta memporak-perandakan jari-jemari menerusi perbuatan yang keji di mana akhirnya membinasakan diri.

Apa yang penting, sifat sentiasa inginkan kemenangan menyebabkan mereka semakin jauh tersasar. Ketahuilah, para ulama pernah menasihatkan kepada kita agar jangan jadikan perbuatan menyakiti orang lain sebagai sesuatu yang remeh kerana apabila seseorang yang engkau sakiti itu diam, tidak membalas dan terus pergi dengan hati yang sedih, lalu pada malamnya dia mengadu nasibnya kepada ALLAH, ketahuilah kamu berada dalam masalah yang besar.

Jagalah lisan kita!

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi, Universiti Malaysia Perlis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!