Covid-19: India semakin terancam
NEW DELHI - Jangkitan koronavirus (Covid-19) di India kini telah mengatasi jumlah direkodkan di United Kingdom (UK) sekali gus menjadikan ia sebagai negara keempat paling teruk terjejas di dunia.
Setakat hari ini, New Delhi mencatatkan 297,535 kes jangkitan berbanding 292,860 yang dilaporkan di London dan ia kini berada di belakang Amerika Syarikat, Brazil dan Rusia.
Menurut data Our World in Data yang dikeluarkan Universiti Oxford dan Global Change Data Lab, keadaan itu dipercayai berlaku kerana negara di rantau Asia Selatan itu mempunyai kadar ujian paling rendah di dunia iaitu 3.78 ujian untuk setiap 1,000 individu berbanding 53.35 ujian untuk setiap individu di UK.
Situasi itu menyebabkan ahli epidemiologi memberi amaran jumlah jangkitan di India dipercayai jauh lebih tinggi daripada data rasmi yang diberikan.
Kegagalan untuk melakukan ujian saringan dan mengenal pasti kawasan titik panas walaupun langkah 'lockdown' dilaksanakan di seluruh dunia telah menyebabkan kerugian besar kepada India yang berada di tangga 154 daripada 195 negara untuk akses kualiti dan penjagaan kesihatan global.
Ketika ini, kebimbangan semakin meningkat terhadap lonjakan jangkitan harian di negara yang mempunyai populasi 1.3 bilion penduduk itu selepas pemerintah melonggarkan sekatan pada 8 Jun lalu.
Selain itu, bandar besar termasuk Mumbai dan New Delhi juga berdepan masalah kekurangan ventilator dan katil di hospital selepas kes jangkitan dijangka meningkat lebih 500,000 kes menjelang akhir bulan depan.
Sejak beberapa minggu lalu, negara di Asia Selatan menyaksikan peningkatan kes termasuk lonjakan 27 peratus di Pakistan, 19 peratus di Bangladesh dan 17 peratus di India.
Penularan virus itu semakin meningkat pada kadar yang cepat di India dan Brazil selepas titik panas kini beralih ke negara membangun yang kekurangan peralatan kesihatan untuk membendung pandemik tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!