Sediakan pusat khas untuk pengundi positif Covid-19
KUANTAN - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran menyediakan pusat khas untuk pengundi yang positif koronavirus (Covid-19) dan bergejala mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, 4 Julai ini.
Ketua Penerangan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Kuantan, Asrullah Affendi Abdullah berkata, ia sebagai jaminan kepada pengundi lain yang bimbang akan terdedah kepada virus itu jika pesakit Covid-19 dibenarkan keluar mengundi.
"Saya kira Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sudah melihat perkara ini secara menyeluruh dan teliti sebelum sebarang keputusan dibuat.
"Bagaimanapun pengundi sudah tentu mahukan jaminan supaya tidak terdedah kepada virus itu bukan sahaja dari mereka yang disahkan positif tetapi melalui individu lain yang mungkin dijangkiti tanpa sedar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Asrullah Affendi berkata, sebaiknya pihak KKM dan SPR melakukan saringan terhadap semua pengundi sebelum hari pengundian.
"Langkah ini bagi memastikan mereka yang positif atau bergejala dapat diasingkan lebih awal sebagai langkah berjaga-jaga.
"Walaupun langkah ini mengambil masa, namun ia lebih menjamin penularan Covid-19 dapat dielakkan pada PRK ini," katanya.
Katanya, sekiranya langkah sewajarnya tidak diambil dibimbangi akan muncul kluster baharu pada PRK Chini nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!