Kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas
RAWANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan 9 tahun dikhuatiri lemas selepas hanyut dibawa arus sungai di Jalan Kampung Baru Sungai Bakau petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang tiba di lokasi pada jam 4. 07 petang sebaik menerima panggilan pada jam 3. 49 petang.
Menurutnya, pengadu yang berada di lokasi kejadian memaklumkan seorang kanak-kanak dihanyutkan arus sungai yang paras air sedalam semeter.
"Operasi mencari mangsa dilaksanakan oleh pasukan BBP Rawang dan PPDA (Pasukan Penyelamat Di Air) Shah Alam petang tadi ditangguhkan dan disambung esok.
"Pos Kawalan Bomba (PKB) telah dibuka untuk operasi pemantauan di tepi tebing anak sungai pada waktu malam, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!