Ninot Aziz sifatkan Faisal Tehrani angkuh perlekeh Abah
KUALA LUMPUR - Seorang penulis hikayat, Ninot Aziz membidas tulisan seorang sasterawan terkemuka, Faisal Tehrani yang menyindir gelaran ‘Abah’ yang diberikan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selain merendahkan taraf politik keluarga Melayu menerusi kolumnya dalam sebuah portal berita tempatan kelmarin.
Ninot Aziz yang merupakan nama pena kepada Zalina Abdul Aziz dalam satu kenyataan melalui laman sosial Facebooknya turut menyifatkan Faisal atau nama sebenarnya Dr Mohd Faizal Musa sebagai bersikap angkuh.
Menurutnya, keangkuhan Faisal dalam menulis baginya adalah sesuatu perkara yang ‘membunuh’, meninggalkan kesan mendalam kepada pembaca dan penulis serta kadangkala mengubah segala persepsi.
“Keangkuhan ini sesuatu perkara yang membunuh. Membunuh niat. Membunuh nikmat. Membunuh syarat,” katanya dalam tulisannya membalas kenyataan Faisal.
Ninot yang pernah memenangi anugerah Calistro Prize di peringkat penulisan sastera antarabangsa turut meminta Faisal supaya berhenti merungut kerana mandat rakyat bukan untuk ditipu dan dikaburi kerajaan terdahulu.
“Lima pilihan raya kecil cukup lantang menunjukkan mandat. Buat apa menang pilihan raya jika ingin mencabul mandat rakyat (merujuk kepada kerajaan PH)?” katanya.
Ninot Aziz turut hairan dengan tulisan Faisal yang menggambarkan taraf sebuah keluarga Melayu adalah sangat rendah dalam kolumnya.
“Enam juta, tujuh juta keluarga membentuk satu negara. Nak jayakan MCO (Perintah Kawalan Pergerakan), pastikan unit keluarga mematuhi MCO. Nak menaikkan bangsa, pastikan keluarga bersemangat waja. Hendak menaikkan taraf hidup bangsa, pastikan household income diperkasa! It all starts with the family,” katanya.
Ninot Aziz juga menyifatkan sifat keperibadian Muhyiddin tenang seperti air panas dalam menyerap ancaman pandemik koronavirus (Covid-19) di peringkat global serta pergolakan politik tanah air.
Semalam, Faisal yang kini merupakan Felo Bersekutu Weatherhead Center for International Affairs di Universiti Harvard, Amerika Syarikat menulis sebuah artikel bertajuk ‘Mahu Negarawan, Bukan Abah’ menerusi satu portal berita tempatan.
Menerusi artikel itu, Faisal menggunakan analogi Abah, Pak Long, Pak Su, Pak Ngah dan sekalian hierarki keluarga Melayu untuk menggambarkan seseorang itu ada penyakit diri kalau urusan pentadbiran negara diturunkan tarafnya serendah sebuah keluarga Melayu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!