Cinta sejati suami setia jaga isteri lumpuh
BACHOK - Seorang suami membuktikan cinta sejati apabila sanggup menjaga isterinya, Nor Fadillah Che Par, 29, yang lumpuh seluruh badan sejak dua tahun lalu di Kampung Kok Lintang, Gunong di sini.
Nor Fadillah hanya mampu berinteraksi menggunakan isyarat mata selepas degupan jantungnya terhenti seketika ketika menjalani pembedahan untuk melahirkan anak sulung mereka pada 18 November 2018.
Situasi itu menyebabkan Nor Fadillah koma selama tujuh bulan tanpa sempat menatap wajah cahaya mata sulungnya sejurus dilahirkan menerusi pembedahan.
Sejurus sedar dari koma, Nor Fadillah bukan sahaja hilang upaya untuk bergerak malah dia tidak mampu bertutur seperti manusia normal lain dan banyak menghabiskan masa dengan terlantar di atas tilam.
Sungguhpun begitu, Muhammad Saiful Sudin, 30, tetap tenang menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan menjaga Nor Fadillah dengan penuh kasih sayang.
"Setiap hari saya akan memberikan kata-kata semangat kepada isteri supaya dia sentiasa kuat untuk melawan penyakitnya dan kembali sembuh seperti biasa.
"Saya juga tidak putus-putus berdoa agar ALLAH memberikan kesembuhan semula kepadanya," katanya.
Terdahulu Muhammad Saiful menerima kunjungan dari Kelab Volunteer i-Care (Vi-C) yang diwakili oleh bendahari, Saripah Ismail yang menyampaikan sumbangan almari, susu dan lampin pakai buang untuk kegunaan Nor Fadillah.
Muhammad Saiful berkata, bagi memperhebatkan lagi sokongan setiap hari dia akan menyuruh anak tunggal Muhammad Syahmi yang berusia setahun untuk mengucup ibunya.
Katanya, dia turut mengajar cahaya matanya itu memanggil ibunya supaya hubungan mereka menjadi lebih akrab.
"Walaupun Muhammad Syahmi masih kecil, dia seolah-olah memahami permintaan saya untuk sentiasa memberikan ciuman pada ibunya," katanya.
Muhammad Saiful berkata, dia kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sumbangan adik-beradik dan orang ramai untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas tidak dapat keluar untuk mencari rezeki.
Katanya, sebelum ini dia mengambil upah membuat pendawian elektrik, namun disebabkan keadaan isteri sukar untuknya keluar mencari rezeki.
Dia berkata, setiap bulan dia memerlukan sekurang-kurang RM1,500 untuk perbelanjaan Nor Fadillah tidak termasuk Muhammad Syahmi yang dijaga oleh adik iparnya.
"Isteri juga perlu menjalani rawatan susulan untuk doktor melihat perkembangan tahap kesihatannya," katanya.
Muhammad Saiful berkata, sungguh pun tugas menguruskan isteri agak berat, namun dia lega apabila mendapat sokongan padu daripada ahli keluarga.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 030094-1-000-16-63-84 atas nama Muhammad Saiful Sudin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!