Higuain jadi sasaran Ravanelli
LAGENDA bola sepak Itali, Fabrizio Ravanelli mahu membawa masuk pemain sensasi Gonzalo Higuain sekiranya dilantik selaku pengarah sukan gergasi Ligue 1, Olympique de Marseille (OM).
Ravanelli berkata, dia menyasarkan nama-nama besar untuk dibawa ke Orange Velodrome dalam usaha membantu Marseille melakar lebih banyak kejayaan terutamanya untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Justeru menurut Ravanelli, dengan keadaan masa depan Higuain di Juventus yang masih tidak pasti, dia akan cuba menghubungi Higuain setelah perlantikan berkenaan dibuat.
“Apakah dia (Higuain) akan datang? Saya tidak tahu, tetapi dia mungkin menjadi pemain penting bagi Marseille dalam saingan Liga Juara-Juara nanti.
"Tidak mustahil dia akan meninggalkan Juventus. Dia baru berusia 32 tahun dan sebenarnya ada juga peluang untuk membawanya ke sini sebagai pemain pinjaman," katanya bagi mengulas berhubung pencarian Marseille bagi menggantikan bekas pengarah sukan kelab berkenaan Andoni Zubizarreta yang meninggalkan kelab berkenaan baru-baru ini.
Untuk rekod, Marseille menamatkan saingan Ligue 1 selaku naib juara apabila saingan liga berkenaan ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19, Mac lalu.
Sekali gus ini menyaksikan kelab berkenaan akan kembali menyertai saingan Liga Juara-Juara musim hadapan iaitu penampilan pertama dalam tempoh tujuh tahun.
Sementara itu Ravanelli turut yakin untuk membantu Marseille membawa masuk pemain-pemain kerana mempunyai hubungan dengan kelab-kelab besar.
"Saya yakin untuk bawa masuk pemain yang akan memberikan gambaran mengenai Velodrome. Saya juga mempunyai hubungan dengan banyak kelab besar.
"Jika Marseille tidak memiliki dana yang mencukupi untuk membawa masuk pemain, mengapa saya (yang memiliki dana), tidak mampu membawa pemain penting ke sini?" katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!