MITI galak PKS teroka pasaran eksport halal global

Pasaran eksport halal membuka peluang besar kepada PKS tempatan untuk memasarkan produk mereka di peringkat global. (Gambar kecil: Lim Ban Hong)
Pasaran eksport halal membuka peluang besar kepada PKS tempatan untuk memasarkan produk mereka di peringkat global. (Gambar kecil: Lim Ban Hong)
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menggalakkan lebih ramai usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini meneroka pasaran eksport halal global dengan memanfaatkan pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf di seluruh dunia.

Timbalan Menterinya, Datuk Lim Ban Hong berkata, pasaran eksport halal membuka peluang besar kepada PKS tempatan untuk memasarkan produk mereka di peringkat global.

"Halal adalah salah satu sektor bernilai tinggi di peringkat dunia dan sedang berkembang pesat bukan sahaja di negara-negara Muslim tetapi juga di negara-negara bukan Muslim. Malaysia mencatatkan nilai eksport produk halal tempatan berjumlah RM40.2 bilion pada tahun lalu.

"Pasaran halal global menawarkan peluang yang sangat besar untuk PKS tempatan terutamanya dalam mengeksport produk makanan ke luar negara, memandangkan sijil halal Malaysia amat terkenal dan mempunyai reputasi yang besar di peringkat dunia.

“Masih terdapat banyak peluang dan ruang yang perlu diterokai PKS tempatan di dalam sektor ini,” katanya dalam satu kenyataan selepas lawatan kerja ke kilang pembuatan Kawan Food Berhad di Selangor Halal Hub, Pulau Indah di sini semalam.

Menurutnya, berdasarkan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), segmen eksport makanan dan minuman (F&B) halal meningkat sebanyak 10.4 peratus tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

"Segmen F&B yang berjumlah RM22 bilion itu adalah segmen terbesar bagi eksport halal di Malaysia. PKS tempatan mempunyai peluang menceburi pasaran halal global yang bukan sahaja merangkumi produk F&B tetapi juga produk lain seperti farmaseutikal, kosmetik, perkhidmatan kewangan, pelancongan dan fesyen.

Artikel Berkaitan:

“China pula destinasi eksport produk halal Malaysia yang terbesar, mencatatkan nilai eksport berjumlah RM4.7 bilion pada 2019, diikuti Singapura, Amerika Syarikat, Jepun dan Indonesia," katanya.

Katanya, selain itu, rantau Asean adalah salah satu pasaran eksport halal utama Malaysia yang mencatatkan gabungan eksport halal kira-kira RM12 bilion pada tahun lalu.

"Data-data ini menunjukkan potensi eksport di pasaran-pasaran tersebut dan wajar bagi PKS tempatan untuk mengambil peluang mengeksport ke negara-negara ini.

"Berdasarkan rekod HDC, terdapat lebih daripada 200,000 PKS tempatan yang berpotensi untuk terlibat dalam penghasilan produk halal dan penting bagi syarikat tersebut mendapatkan sijil halal bagi menambah nilai kepada produk mereka di peringkat domestik dan global,” katanya.

Sementara itu, Ban Hong berkata, lawatan ke Kawan Food itu bertujuan meninjau pematuhan kilang terbabit kepada prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Selain itu, lawatan ini untuk mengetahui lebih mendalam mengenai gangguan rantaian bekalan global serta pendekatan yang diambil industri dalam menjalankan perniagaan semasa normal baharu.

“Kawan Food ialah salah satu pengeluar dan pengeksport produk makanan halal yang terkemuka di Malaysia dan antara produk keluaran mereka adalah produk sejuk beku capati, popia dan roti.

“Setakat ini, Kawan Food mengeksport ke 42 pasaran antarabangsa dan aktiviti eksport menyumbang 60 peratus daripada pendapatan syarikat ini pada tahun lalu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!