Sebahagian Beijing kena 'lockdown' semula

Pasukan polis berkawal di pintu masuk pasar Xinfadi di Beijing yang ditutup sejak semalam. - Foto AFP
Pasukan polis berkawal di pintu masuk pasar Xinfadi di Beijing yang ditutup sejak semalam. - Foto AFP
A
A
A

BEIJING - Sebahagian daripada ibu negara China dikenakan langkah 'lockdown' semula hari ini selepas enam kes jangkitan domestik koronavirus (Covid-19) dilaporkan sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap gelombang baharu penularan tempatan.

Pegawai perbandaran memaklumkan, penduduk di 11 kawasan perumahan di daerah Fengtai, barat daya Beijing dilarang keluar rumah selepas majoriti kes dikaitkan dengan sebuah pasar borong.

"Kes pertama jangkitan virus itu pertama kali dilaporkan di Beijing kelmarin selepas sifar kes selama dua bulan. Individu terbabit didakwa berkunjung ke pasar daging Xinfadi pada minggu lalu dan tidak melakukan perjalanan keluar dari bandar tersebut," ujarnya.

Difahamkan, tiga daripada enam kes domestik baharu itu ialah pekerja pasar borong daging Xinfadi dan virus itu didakwa dikesan pada papan pemotong yang digunakan untuk memotong ikan salmon yang diimport.

Susulan itu, rangkaian pasar raya utama termasuk Wumart dan Carrefour bertindak menarik balik kesemua stok ikan salmon, namun menyatakan bekalan produk lain tidak akan terjejas.

Sementara itu, pegawai daerah Fengtai memaklumkan mereka telah menubuhkan 'mekanisme masa perang' dan 'pusat perintah lapangan' untuk menangani gelombang jangkitan baharu.

Sebanyak sembilan sekolah dan tadika ditutup selain menangguhkan kesemua acara sukan dan perjalanan merentas wilayah.

Pihak berkuasa Beijing juga mengumumkan kempen ujian besar-besaran terhadap mana-mana individu yang mempunyai kontak rapat dengan pekerja di pasar borong Xinfadi itu sejak 30 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Pihak berkuasa turut menutup pasar tersebut dan sebuah lagi pasar makanan laut yang dikunjungi seorang pesakit untuk langkah semburan nyahjangkit dan pengambilan sampel.

Sejak semalam, lebih 5,000 sampel dari pasar terbabit dan pasar raya terbesar telah diambil dan kesemua 40 sampel positif disahkan dari pasar Xinfadi terbabit.

Selain itu, hampir 2,000 pekerja di pasar tersebut juga menjalani ujian saringan dan 46 daripada mereka didiagnos positif, namun tidak menunjukkan simptom klinikal dan telah diletakkan di bawah langkah pemerhatian yang ketat. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!