MEDAC bangun aplikasi hantar barang ala Grab Food, Foodpanda

Wan Junaidi (kanan) menyampaikan replika cek kepada wakil penerima bantuan TEKUN, Zubaidah Sahadar berjumlah RM7,179,000 pada perjumpaan tertutup dengan agensi-agensi di bawah MEDAC di Bank Rakyat Cawangan Simpang Tiga, Kuching. -Foto Bernama
Wan Junaidi (kanan) menyampaikan replika cek kepada wakil penerima bantuan TEKUN, Zubaidah Sahadar berjumlah RM7,179,000 pada perjumpaan tertutup dengan agensi-agensi di bawah MEDAC di Bank Rakyat Cawangan Simpang Tiga, Kuching. -Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan membangunkan satu aplikasi penghantaran barangan ala-ala Grab Food dan Foodpanda, kata Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, aplikasi penghantaran itu merangkumi pelbagai perkhidmatan yang antaranya makanan, barangan serta produk pertanian, perikanan dan penternakan khususnya dari luar bandar ke bandar bagi memudahkan urusan peniaga dan pembeli.

“Contohnya di Sarawak ini, terdapat kumpulan yang melakukan penghantaran produk pertanian, perikanan dan penternakan tetapi tidak meluas. Kita juga sedar bilangan ‘rider’ ini tidak mencukupi untuk menampung jumlah permintaan yang tinggi.

“Kewujudan aplikasi penghantaran yang lain seperti Grab Food, Foodpanda dan sebagainya ini bukanlah kita menganggap untuk bersaing dengan mereka tetapi untuk saling melengkapi sekaligus mencipta peluang kerja yang baharu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama ketua-ketua agensi di bawah kementeriannya di sini.

Pada masa yang sama, Wan Junaidi berkata, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional juga menyediakan pembiayaan pinjaman untuk membeli motosikal bagi sesiapa yang berhasrat untuk menjadi ‘rider’, tetapi tidak memiliki kenderaan.

“TEKUN ada memberi pinjaman khas sehingga RM10,000 bagi mereka yang berminat untuk menjadi ‘rider’, tidak kira Grab Food, Foodpanda atau mana-mana syarikat penghantaran makanan dan setakat hari ini, 200 ‘rider’ sudah mendapat manfaat itu, ” katanya.

Bagi semua pembiayaan TEKUN pada tahun 2020 setakat 10 Jun, Wan Junaidi berkata, 27,644 usahawan telah mendapat manfaat melibatkan dana RM257.9 juta. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!