Pengusaha majlis perkahwinan digalak cadang SOP

 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan mengalu-alukan semua pengusaha majlis perkahwinan untuk mengemukakan cadangan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), bagi membolehkan mereka beroperasi semula, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, mereka (pengusaha majlis perkahwinan) boleh menghantar cadangan tersebut kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Seterusnya, MKN boleh mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan wakil pengusaha untuk ‘come out’ dengan cadangan tersebut.

“Jadi, apabila kita dah umumkan (untuk beroperasi), kita dah boleh terus laksanakannya dan tidak perlu untuk menunggu lagi,” katanya pada sidang media harian mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Terdahulu, terdapat keluhan daripada ramai pengusaha majlis perkahwinan yang terpaksa menanggung kerugian dan kehilangan punca pendapatan, kerana perniagaan mereka yang masih belum dibenarkan beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut membenarkan kegiatan sukarelawan atau Badan Bukan Kerajaan (NGO), yang ingin menganjurkan sebarang aktiviti membersihkan kawasan awam walaupun dalam pelaksanaan PKPP.

“Mereka masih boleh melakukannya, namun perlu mematuhi asas SOP yang telah ditetapkan seperti menjaga jarakan sosial, menjaga kebersihan dan memakai pelitup muka dan hidung,” katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut menasihatkan agar orang ramai yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung kerana kebenaran rentas negeri, untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Saya tahu bila balik ke kampung, ramai akan ada di rumah ibu bapa masing-masing, atau ada yang mengambil kesempatan melawat ke rumah saudara mara, tetapi apa-apa pun asas SOP kita tetap sama iaitu, jagalah jarakan sosial, menjaga kebersihan diri, dan sentiasa memakai pelitup muka.

“Kita sendiri yang sepatutnya menjadi barisan hadapan untuk mengawal diri sendiri dan keluarga kita, kerana kesihatan dan keselamatan diri dan keluarga serta masyarakat adalah menjadi tanggungjawab kita semua.

"Oleh itu, amalkan kawalan kendiri untuk terus kekal selamat,” katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!