Pembalakan haram: 10 jentera berat bernilai RM1.6 juta disita
KUANTAN - Unit Penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis menyita sebanyak 10 jentera berat bernilai lebih RM1.6 juta yang dipercayai digunakan dalam kegiatan pembalakan secara haram di Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis semalam.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, antara yang disita termasuklah tiga lori mengangkut balak di hutan, dua jentolak dan lima jengkaut yang ditempatkan di kawasan bekas tapak tempat mengumpul balak atau matau di hutan simpan tersebut.
Menurutnya, kesemua jentera berat itu dikesan oleh anggota dari unit tersebut yang membuat rondaan di kawasan hutan terbabit pada jam 11 pagi.
"Semua jentera yang disita kini ditempatkan sementara di Batu 18 Pejabat Renjer Sungai Koyan, Raub sebelum tindakan selanjutnya diambil.
"Penemuan kes semalam adalah kejayaan terbesar dilakukan Unit Penguatkuasa PHD Lipis terutama di kawasan Pahang Barat yang sebelum ini terbabit dengan operasi lombong emas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menjumpai rumah kongsi yang masih dalam pembinaan bagi menempatkan pekerja dan tangki minyak serta pelbagai peralatan lain.
Bagaimanapun, pihaknya tidak menemui kumpulan atau individu yang terbabit dengan kegiatan berkenaan ketika serbuan dilakukan melibatkan jalan masuk ke hutan sepanjang 10 kilometer iaitu laluan yang digunakan oleh kumpulan terbabit bertujuan memindahkan balak.
"Jalan itu dibina bagi tujuan memindahkan balak yang akan ditebang ditemui tetapi tindakan pantas yang dilakukan unit penguatkuasaan dapat menyelamatkan Hutan Simpan Ulu Jelai daripada musnah akibat aktiviti pembalakan haram," katanya.
Dalam masa sama katanya, pihaknya akan menyiasat dalang yang terlibat dengan kegiatan terbabit.
"Tindakan undang-undang sedia menunggu mereka di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh hutan simpan termasuk menempatkan jentera," katanya.
Sementara itu, beliau turut memuji kejayaan oleh Unit Penguatkuasa PHD Lipis diketuai pegawainya, Nor Shahrini Nordin Ahmad yang sentiasa bertindak tegas membendung aktiviti pencerobohan hutan simpan di daerah ini.
Jelasnya, sepanjang Mac hingga Jun, Unit Penguatkuasa PHD Lipis berjaya membongkar empat kes membabitkan cubaan memindahkan hasil hutan iaitu balak dan emas.
"Kejayaan ini dikecapi hasil maklumat orang awam selain kerjasama dalam pasukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!