Kelantan Bikers bersama Tourism konvoi cegah Covid-19
KOTA BHARU - Usaha menyedarkan masyarakat terhadap aspek-aspek pencegahan bagi mengelak penularan pandemik koronavirus (Covid-19) terus dipergiat biarpun Kelantan sudah diisytiharkan sebagai negeri zon hijau.
Kelantan Bikers bersama Tourism Malaysia Kelantan membuktikan keazaman yang tinggi untuk memastikan masyarakat terus berhati-hati terhadap jangkitan virus tersebut melalui inisiatif turun padang dengan berkonvoi bagi memberi peringatan secara lebih dekat.
Ketua konvoi, Diami Yusof berkata, seramai 20 peserta memulakan perjalanan dengan motosikal dari Kota Bharu melalui Rantau Panjang, Jeli dan beberapa daerah lain dengan membawa misi demi keselamatan bersama.
“Sepanjang konvoi, kita singgah di beberapa kawasan perkampungan berjumpa dengan penduduk, kita serahkan risalah mendidik masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan utamakan kebersihan diri untuk mengelak terdedah bahaya Covid-19.
“Biarpun Kelantan selamat dikunjungi tetapi kita merasakan yang kami juga perlu memainkan peranan dalam mendidik masyarakat apatah lagi sempena Tahun Melawat Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Diami berkata, selain mengedarkan risalah, peserta konvoi juga turut menyumbangkan topeng muka serta cecair pembasmi kuman supaya orang ramai berhati-hati dan mengamalkan penjagaan kebersihan diri.
“Sepanjang konvoi, kita juga melihat orang ramai masih menjaga penjarakkan sosial ketika berada di luar rumah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!