KKMM bincang tambah siaran TV Pendidikan
KUANTAN - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan untuk menambah dan membuka saluran televisyen baharu bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dari rumah atau 'home-based learning'.
Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pada masa ini, kerjasama pihaknya dengan kementerian terlibat hanya membabitkan saluran TV Okey.
"Home-based learning ketika ini disiarkan menerusi TV Okey selama dua jam sehari iaitu sejam di sebelah pagi dan sejam pada waktu petang.
"Perbincangan sedang diadakan antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Multimedia sama ada menambah masa dengan menggunakan platform yang sama atau membuka satu saluran baharu," katanya pada sidang akhbar sempena majlis penyampaian sumbangan bantuan kepada Yayasan Pahang oleh MYNIC Berhad, di Hotel Zenith hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Ts Hasnul Fadhly Hasan dan wakil Yayasan Pahang, Khairul Anuwar Abu Bakar.
Pada majlis tersebut, sejumlah RM31,500 diserahkan oleh MYNIC kepada Yayasan Pahang untuk disumbangkan kepada 21 Pengerusi Jawatankuasa Kemakmuran dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Dalam masa sama beliau berkata, pihaknya akan memastikan P&P turut dijalankan secara dalam talian dengan memastikan capaian internet berada pada tahap dan kualiti memuaskan.
Ini kerana katanya, matlamat sebenar home-based learning tidak dapat dicapai 100 peratus jika hanya menggunakan platform televisyen kerana tidak melibatkan komunikasi dua hala.
"Kementerian Pendidikan pula perlu fikirkan kaedah serta peranti terbaik bagi menjayakan hasrat ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin bersetuju dengan saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang tidak membenarkan pesakit koronavirus (Covid-19) keluar wad untuk mengundi.
"Dalam suasana kita berhadapan dengan Covid-19, kalau pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencadangkan agar mereka yang positif (Covid-19) tidak mengundi, memang akan ada yang membantah tapi kita melihat keselamatan dan ketenteraman awam.
"Kalau musibah tu lebih besar daripada hak individu (mengundi), maka kita harus membenarkan pihak berkuasa menghalang dia untuk memilih.
"Ini bukan tak benarkan demokrasi berjalan tetapi ini dari sudut keselamatan awam," katanya.
Beliau berkata, bagi tujuan pencegahan pandemik tersebut, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk melaksanakan kaedah undian dalam talian sama ada dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Umum (PRU) pada masa depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!