Sastera, buku pada musim gelora
ADA tiga cabaran besar yang membungkamkan dunia sastera dan buku: cabaran digital, cabaran politik dan cabaran Covid-19.
Tiga badai ini merempuh dunia sastera dan buku sehingga pemainnya tercungap-cungap menangkap udara yang mahu terlucut daripada pernafasan.
Kini musim gelora melanda dunia sastera dan buku. Setelah berdepan dengan kurangnya perhatian khalayak pada buku bercetak lantaran hebatnya arus era digital dan internet, kini muncullah satu spesies baharu, iaitu warga digital. Jumlahnya besar, mengatasi warga buku bercetak. Kesannya, pasaran buku merudum.
Kemudian berlaku pula petaka pandemik Covid-19 yang menutup pintu pasar buku. Siapakah yang mahu mencari buku di kedai lagi apabila kedai pun tidak beroperasi, sekolah dan universiti pun berhenti, dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) terencat?
Para pemain industri buku terduduk apabila persediaan yang dibuat untuk PBAKL menjadi sia-sia. Keadaan menjadi lebih parah apabila suasana politik menjadi huru-hara. Dunia sastera bukan dunia kaya raya; dunia sastera ialah dunia mimpi, yakni mimpi yang muluk-muluk untuk mewujudkan sebuah kehidupan yang indah. Bagi orang politik yang tuna sastera, peduli apa mereka pada mimpi orang sastera?
Kini, musim gelora belum berhenti dan tidak akan berhenti. Walaupun barangkali pandemik Covid-19 akan berakhir, dua lagi faktor yang mempengaruhi hidup mati sastera ialah trend digital dan politik tuna sastera yang terus berkembang.
Dunia sastera dikuncupkan apabila generasi baharu khususnya sudah tenggelam dalam alam siber dan era digital. Segala-galanya ada di situ tanpa perlu membeli buku, majalah dan akhbar.
Kesan yang jelas, syarikat Utusan Melayu tersungkur. Jika tidak, media terbitan Kumpulan Utusan merupakan lubuk suburnya karya sastera dan bertanggungjawab mengangkat ramai penulis ke tahap ‘dewa sastera’.
Contoh paling mudah, sepanjang tahun 2007 sebanyak 457 buah puisi tersiar dalam media Kumpulan Utusan dengan pecahan yang berikut: Mingguan Malaysia, 259; Utusan Melayu Mingguan, 47; Wanita, 57; Harmoni, 25; dan URTV, 69.
Genre cerpen pula dalam tempoh yang sama menghasilkan 130 buah dengan pecahan: Mingguan Malaysia, 52; Utusan Melayu Mingguan, 20; Wanita, 12; Harmoni, 23; dan URTV, 23. Jumlahnya lebih banyak semasa hayat majalah Kiblat dan Al-Islam masih ada dahulu.
Kini semua itu sudah lenyap, dan penulis hanya terpaksa bergantung pada majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka seperti Dewan Sastera, Dewan Budaya dan Dewan Masyarakat selain majalah untuk remaja, akhbar Berita Harian, dan beberapa akhbar di Sabah dan Sarawak yang masih sudi menawarkan ruangan sastera., iaitu Utusan Borneo, Utusan Sarawak dan Suara Sarawak.
Keadaan menjadi lebih teruk apabila Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pun tidak lagi menerbitkan karya sastera seperti yang dilakukannya beberapa tahun lalu.
Trend
Benarlah kini satu trend baharu wujud iaitu bercambahnya penerbitan buku antologi terbitan pihak persendirian atau perseorangan yang berkonsepkan pembiayaan bersama atau crowd funding dan semakin ramailah penulis beroleh peluang menerbitkan karya. Dalam konsep baharu ini, semua penulis boleh menghantar karya dan kemudian mereka membuat prapembayaran sebagai kos belian wajib.
Namun begitu, ini belum menjamin kelangsungan sastera tinggi yang layak diiktiraf sebagai tanda aras sastera kebangsaan. Penilaian dan penganugerahan sastera menggunakan kriteria yang lebih ketat dan penulis mapan lazimnya tidak memasuki kelaziman baharu (new normal) penerbitan itu.
Lanjutan daripada itu, pencarian penerima SEA Write Award, Anugerah Sastera Negara, anugerah sasterawan negeri dan hadiah sastera bagi beberapa negeri pun menjadi sukar sekali.
Jumlah karya sangat kecil yang layak dinilai sedangkan realitinya jumlah karya yang tersiar dalam alam siber begitu banyak. Namun begitu, bukan semua karya di alam siber layak dinilai kerana menurut peraturan anugerah sastera, hanya karya yang terbit atau tersiar dalam terbitan yang berdaftar dengan ISBN atau ISSN layak diperakukan.
Oleh yang demikian, apakah penyelesaiannya? Wajarkah semua karya yang tersiar dalam media sosial dinilai juga? Ataupun perlu diberi kelonggaran kepada pengendali penerbitan di alam siber untuk diiktiraf sama tanpa mengambil kira syarat ISBN dan ISSN? Perbincangan ini eloklah dimulakan bagi menghadapi kekurangan karya untuk dinilai.
Dalam hubungan yang sama, hayat industri buku perlu dibantu dengan mekanisme yang berkesan. Pakej rangsangan ekonomi selepas negara memasuki tahap pemulihan atau dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan nanti perlu mengambil kira permasalahan ini.
Permohonan daripada Mabopa (Malaysian Book Publishers Association) dan MBKM (Majlis Buku Kebangsaan Malaysia) yang sudah disampaikan kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hendaklah diberi pertimbangan.
Pihak MBKM sudah menghantar cadangan pembelian baucar buku secara one-off kepada murid B40 dan guru dengan jumlah anggaran muridnya seramai 1,893,904 orang dan jumlah guru seramai 419,904 orang.
Permohonan Mabopa pula turut melibatkan pelajar universiti dengan pemberian baucar buku bernilai RM100 seorang kepada seramai 5,273,315 orang dengan kaedah tertentu bagi mengelakkan ketirisan.
Ringkasnya, permohonan dan syor sudah dikemukakan berkali-kali sebelum ini pun tetapi sehingga kini baucar buku yang pernah diberikan dahulu tidak lagi kelihatan sinarnya. Semuanya sudah terhenti. Industri buku pun terus berenang mencari daratan yang belum kelihatan arahnya.
Sastera terus hidup tetapi hanya sekadar hidup, tidak cukup untuk mencari tanda aras baharu sastera kebangsaan. Oleh itu, perhatian khas daripada kerajaan amat perlu diberikan kepada dunia sastera dan buku, bukan hanya kepada industri hiburan dan filem.
* Dr Mohamad Saleeh Rahamad ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya. Beliau juga ialah Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!