PM kesembilan: Era Tun M sudah berlalu
SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menerima hakikat bahawa era pentadbirannya sebagai Perdana Menteri sudah berlalu selepas beliau meletakkan jawatannya tempoh hari.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, Dr Mahathir sudah tidak relevan malah telah diberikan peluang untuk menjadi Perdana Menteri dalam tempoh 22 bulan.
"Yang dia letak jawatan Perdana Menteri itu kemudian kita hendak lantik lagi pasal apa. Dia tak boleh sebab dia sendiri buat keputusan letak jawatan walaupun telah dipujuk untuk menarik balik keputusan itu.
"Sebab (peletakan jawatan) itu berlaku pengkhianatan. Bagi saya 'no way'. Pendirian Keadilan (PKR) jelas menolak Tun kerana Tun sudah diberi peluang dan tidak boleh diberi lagi," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, PKR menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukannya Dr Mahathir bagi menerajui pentadbiran negara jika gabungan parti itu kembali berkuasa.
"Ini soal negara. Dia (Dr Mahathir) hendak 'comeback' macam mana kalau dia sendiri yang meletakkan jawatan dan Pakatan Harapan tumbang disebabkan keputusan Dr Mahathir meletakkan jawatan itu.
"Kita sudah meletakkan nama Anwar sebagai Perdana Menteri dan kita tidak akan mengubah pendirian itu, Keadilan (PKR) konsisten sejak dari dahulu lagi memilih Anwar sebagai Perdana Menteri," katanya.
Katanya lagi, PKR tidak akan berganjak walaupun pada akhirnya parti itu tetap juga menjadi pembangkang.
"Bagi saya, isu keadaan sekarang ini kalau Anwar perlu menunggu sehingga PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) sekalipun, kita akan tunggu untuk berentap balik berdepan Perikatan Nasional dan bukannya dengan Tun Dr Mahathir.
"Tun (Dr Mahathir) kerusinya ada enam sahaja. Kita ada 91 dan tanpa Tun (Dr Mahathir) pun kita tak ada isu," katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Kapar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!