Reformasi pilihan raya zaman Covid-19

Azhar Azizan (kanan) ketika ditemu bual Sinar Ahad di pejabat Pengerusi SPR di Putrajaya.
Azhar Azizan (kanan) ketika ditemu bual Sinar Ahad di pejabat Pengerusi SPR di Putrajaya.
A
A
A

DALAM tempoh dua tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berdepan cabaran besar apabila terpaksa mengendalikan tujuh pilihan raya kecil (PRK) melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Terkini, pada saat pandemik Covid-19 melanda dunia dan Malaysia, negara sekali lagi terpaksa mengadakan satu lagi PRK bagi DUN Chini di Pahang susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu.

Lebih menggusarkan, PRK DUN Chini yang bakal diadakan pada 4 Julai ini perlu melalui kaedah pengundian atau kempen pilihan raya secara normal baharu dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan 20,990 pengundi DUN itu kelak.

Ikuti wawancara eksklusif Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun bersama Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin; Timbalan Pengarang Berita, Zuki Pileh serta wartawan Khairil Anwar Mohd Amin dan Mohd Ridzuan Abu Hassan bagi menyelami cabaran, hala tuju dan masa depan sistem pilihan raya di Malaysia selepas era Covid-19 nanti.

***

SINAR AHAD: PRK DUN Chini bakal menjadi penanda aras baharu kepada SPR kerana inilah kali pertama pilihan raya diadakan pada musim pandemik Covid-19. Apakah usaha SPR untuk memastikan keselamatan pengundi terjamin?

AZHAR AZIZAN: Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula dari 10 Jun hingga 31 Ogos ini, maka PRK Chini akan tertakluk kepada syarat-syarat PKPP tersebut. Kita terpaksa akur, inilah normal baharu pilihan raya kecil pertama yang diadakan di Malaysia ketika kerajaan menguatkuasakan SOP untuk aktiviti seharian semua rakyat Malaysia.

Bagi pihak SPR, kita mahu memelihara kesihatan semua pengundi, calon dan petugas semasa PRK Chini. Kita tidak mahu merebaknya Covid-19 semasa PRK tersebut. Untuk itu, kita telah melaksanakan libat urus dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyediakan SOP bagi PRK berkenaan.

Artikel Berkaitan:

SOP itu pada amnya kena pastikan penjarakkan sosial, memakai topeng muka, saringan suhu, sanitasi tangan dan sarung tangan plastik untuk pengundi serta petugas. Kemudian kita dirikan khemah khas di mana petugas di dalam khemah itu akan memakai set lengkap peralatan pelindung diri (PPE).

Kemudahan ini adalah bagi pengundi yang didapati bergejala semasa saringan suhu, orang yang positif Covid-19 atau dikuarantin.

Kalau sebelum ini pengundi celup jari dalam dakwat khas, kali ini kita pakai brush (berus khas) untuk setiap pengundi, lepas pakai kita buang.

Susulan normal baharu Covid-19, apakah SPR ada perancangan untuk melaksanakan proses pilihan raya secara dalam talian berbanding kaedah konvensional sekarang?

Itu dalam perancangan. Salah satunya ialah penamaan calon secara dalam talian. Kita tidak mahu penamaan calon melibatkan sehari sahaja tetapi sekurang-kurangnya lima hari jika menggunakan kaedah dalam talian. Buat masa ini, kita belum boleh buat sebab ia memerlukan pindaan peraturan dan undang-undang.

Mengenai mengundi secara dalam talian, ya ramai orang yang bertanyakan perkara itu. Selama lebih kurang dua tahun saya menjadi Pengerusi SPR, kita telah melakukan libat urus dengan banyak sekali pihak berkepentingan termasuk pakar-pakar antarabangsa. Kita sudah tengok semua sistem mengundi dalam talian, termasuk mesin pengundian elektronik seperti yang dipakai di India.

Saya rasa, kalau pun kita nak implementasi kaedah pengundian secara dalam talian pada masa hadapan, kita kena mengambil kira kos dan keselesaan pengundi.

Kita mesti terlebih dahulu mencipta satu budaya teknologi sedikit demi sedikit sehingga tahap keselesaan orang itu dengan teknologi semasa meningkat, itu yang pertama. Kedua, lagi satu yang paling penting ialah tahap kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap sistem berkenaan. Kita perlu wujudkan tahap kepercayaan itu sedikit demi sedikit.

Kita tidak boleh kata tahun 2023 atau pilihan raya kali ini kita hendak buat terus. Sebab orang ramai tidak faham dan belum biasa.

Saya selalu berikan contoh, kalau seseorang mengundi calon X yang begitu popular, tetapi tiba-tiba X kalah. Jadi, pengundi tadi akan meragui sama ada betulkah undinya dikira untuk X, bukannya Y.

Ini soal kepercayaan. Dalam hal itu, SPR perlu buktikan dia mengundi X dan undi itu masuk dalam sistem. Bila pengiraan undi, memang undi itu dikira sebagai X. Macam mana saya nak buktikan fakta itu?

Kalau hard copy (kertas undi), mahkamah akan perintahkan saya bawa peti undi itu untuk dibuka dan dikira semula bagi memastikan X sememangnya pemenang pilihan raya itu. Kalau dalam talian, saya boleh buktikan pengundi itu mengundi X, tetapi dia pula akan kata undinya tidak lagi rahsia.

Jadi terdapat banyak sekali isu praktikal yang perlu kita tangani. Itu sebab saya rasa kalau pun kita hendak tukar kaedah mengundi kepada dalam talian, kita perlu wujudkan satu budaya teknologi dalam pilihan raya sedikit demi sedikit sehingga tahap keselesaan, kepercayaan kepada sistem itu amat tinggi, baru kita boleh buat.

Azhar Azizan (kanan) ketika ditemu bual Sinar Ahad di pejabat Pengerusi SPR di Putrajaya.
Azhar Azizan (kanan) ketika ditemu bual Sinar Ahad di pejabat Pengerusi SPR di Putrajaya.

Kalau kita lihat (kaedah) mengundi dalam talian di Amerika Syarikat menghadapi bermacam-macam masalah disebabkan isu kepercayaan. Di Australia, mereka masih menggunakan kaedah manual, malahan mereka menggunakan kertas undi yang lebih panjang kerana di situ ada senarai sehingga 130 calon bertanding.

Kita kena tengok adakah ia lebih baik dari segi pertimbangan kosnya. Kalau ia lebih baik satu peratus tetapi kosnya lebih 300 peratus, tidak guna juga.

PRK pada musim Covid-19 sudah pasti melibatkan kos yang lebih tinggi berbanding PRK lain. Berapakah pertambahan kos yang terlibat?

Daripada semua PRK DUN sebelum ini, PRK Rantau mencatatkan kos yang paling tinggi iaitu mencecah RM1.87 juta. Di DUN Chini, oleh sebab langkah-langkah membendung Covid-19 yang kita ambil ini, kosnya dianggarkan RM4.7 juta, hampir dua kali ganda lebih tinggi daripada PRK Rantau.

Selalunya kos yang paling tinggi adalah elaun kepada petugas pilihan raya, diikuti sewaan seperti komputer, logistik dan sebagainya. Sekarang pula kita terpaksa tambah kos kerana sanitizer (cecair pembasmi kuman), PPE, khemah khas, alat penyaring suhu, (malahan) kos bagi satu brush itu ialah 50 sen dan brush itu untuk sekali pakai sahaja.

Apakah anggaran kos jika pilihan raya umum mengejut diadakan di Malaysia dalam masa terdekat?

Kalau pilihan raya ditakdirkan terpaksa diadakan semasa pandemik Covid-19, kosnya akan melambung lebih tinggi. Kos PRU-14 pada tahun 2018 adalah kira-kira RM600 juta. Tetapi saya belum berani cakap mengenai peningkatan kos untuk PRU-15. Kena kaji betul-betul. Cuma PRK Rantau dan Chini boleh dilihat secara perbandingan.

Apabila pengundi berusia 18 tahun boleh mengundi secara automatik, adakah kos mengadakan pilihan raya akan berkembang daripada 14 juta sekarang kepada katakanlah 23 juta orang pada masa hadapan?

Mesti. Sebab kita hendak berikan pengalaman mengundi yang lebih baik. Kita tidak mahu orang beratur panjang, tunggu lama dan jaga kebajikan warga emas serta golongan OKU.

Apabila berkuat kuasa pindaan undang-undang SPR, secara automatik rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun akan didaftarkan sebagai pengundi. Pendaftaran itu adalah mengikut alamat tertera pada kad pengenalan pengundi. Kalau alamat tidak tepat, maka tidak tepatlah pendaftaran itu. Oleh itu, kena ada kempen dahulu untuk menimbulkan kesedaran menukar alamat ini. Itu untuk proses pendaftaran automatik. Untuk pendaftaran pengundi berusia 18 tahun ke atas, kita juga kena ada proses pendidikan pengundi.

Apakah kekangan berkempen secara terbuka dan besar-besaran akan memberi implikasi kepada majoriti undi kepada calon atau parti yang bertanding?

Saya tidak memikirkan bab itu. Tetapi saya selalu berkata apabila terdapat sesuatu kekangan untuk kita mempraktikkan perkara biasa, maka itu selalunya akan mencetuskan inovasi dan amalan baharu. Sebagai manusia, kita selalu dapat cari sesuatu cara bagi menyelesaikan masalah dihadapi. Masalah yang dihadapi kini adalah merupakan masalah tidak dapat mengadakan ceramah politik melibatkan orang ramai.

Bagi saya, inilah masanya parti-parti politik mencari idea untuk mencetuskan inovasi politik baharu dengan cara baharu. Sebagai contoh, semasa PKP juga kita dapat lihat percambahan program menggunakan Webinar. Sebelum ini, kita tidak pernah dengar aplikasi Webinar sebaliknya hanya mengetahui program forum secara fizikal. Bila adakan forum, kita kena sewa hotel dan bilik mesyuarat sehingga mencecah RM50,000 sehari. Selepas itu kita kena fikirkan soal makanan, tempat parkir kenderaan dan sebagainya. Sekarang kita hanya perlu menganjurkan webinar. Manusia sentiasa berevolusi untuk mencari penyelesaian masalah. Sekiranya kita tidak mahu berfikir secara luar kotak, maka kita akan ketinggalan.

Mengenai persempadanan pilihan raya yang mewujudkan bahagian-bahagian baharu dalam kawasan pilihan raya, adakah Datuk fikir jumlah kerusi Parlimen sebanyak 222 di Malaysia sekarang tidak menggambarkan perubahan demografi dan pembangunan negara kita?

Itu betul. Sebab dalam Perlembagaan Persekutuan, kerusi Parlimen adalah sebanyak 222 buah. Kalau mengikut negeri, kerusi DUN adalah mengikut perlembagaan negeri masing-masing.

Proses persempadanan semula kawasan pilihan raya adalah salah satu daripada tiga fungsi utama SPR mengikut Perlembagaan Persekutuan. Tetapi fungsi itu masih ada kekangan di mana proses persempadanan semula kawasan pilihan raya ini hanya boleh bermula setelah lapan tahun tamat daripada tempoh persempadanan semula yang lepas.

Jadi persempadanan yang lepas adalah pada Mac 2018, bermakna pada tahun 2026 nanti barulah SPR boleh memulakan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya. Apabila proses itu dimulakan, saya perlu menyelesaikan proses itu dalam masa dua tahun. Jadi tempoh keseluruhan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya sekiranya ingin diadakan adalah merangkumi 10 tahun.

Saya rasa terutamanya apabila undi 18 tahun dikuatkuasakan bersama-sama pendaftaran pengundi secara automatik, serta-merta akan berlaku penambahan jumlah pengundi baharu sebanyak lebih lima juta. Kita akan melihat demografi pengundi mesti bertukar. Pasti akan ada sesuatu kawasan itu mempunyai lebih ramai pengundi daripada sebelumnya dan di satu kawasan lain pula jumlah pengundi teramat kurang daripada sebelumnya.

Saya rasa susun atur dan pengagihan jantina, kaum dan umur juga akan bertukar. Itu sudah pasti akan membawa satu naratif baharu bahawa perlu lebih pembahagian kerusi untuk mencerminkan perubahan itu. Itu mungkin akan memerlukan penambahan kerusi di Parlimen dan juga di negeri. Mesti ada naratif tersebut.

Pengagihan kerusi ini mesti adil kerana konsep yang utama adalah satu pengundi, satu undi. Tetapi sudah pasti kita tidak mempraktikkan konsep tersebut secara 100 peratus kerana kita perlu juga lihat di Sabah dan Sarawak, di mana kawasan di sana amat luas dan besar, meskipun pengundi tidak ramai.

Sebagai contoh, sebuah kawasan Parlimen itu sebesar negeri Pahang walaupun pengundinya tidak ramai, takkan kita hanya memperuntukkan satu kerusi Parlimen sahaja? Sedangkan kawasan pentadbiran berlainan. Oleh itu, konsep satu pengundi, satu undi tidak dilaksanakan secara mutlak. Jadi semua perkara ini perlu diperhatikan. Itu senang kita pelajari sebenarnya.

Azhar Azizan (kanan) ketika ditemu bual Sinar Ahad di pejabat Pengerusi SPR di Putrajaya.
Azhar Azizan (kanan) ketika ditemu bual Sinar Ahad di pejabat Pengerusi SPR di Putrajaya.

ANEKDOT

PRK Parlimen Cameron Highlands paling mencabar

Daripada tujuh PRK, saya rasa yang paling mencabar ialah PRK Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari 2019. Itu pilihan raya yang pertama di bawah kendalian saya secara keseluruhannya. Sewaktu PRK Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober 2018, saya baru dilantik sehari sebelum penamaan calon dan tidak terlibat dalam persiapan mengadakan PRK itu secara keseluruhan.

Parlimen Cameron Highlands ialah PRK yang pertama di bawah jagaan saya sepenuhnya. Lokasi dan logistik kawasan Cameron Highlands itu sendiri amat mencabar.

Demografi pengundi juga amat berlainan dengan adanya pengundi-pengundi orang asli dan sebagainya. Itu juga satu ujian kepada saya untuk mewujudkan tahap kebolehpercayaan rakyat terhadap saya dan SPR. Pada waktu itu, saya banyak ‘diserang’ pihak tertentu.

Malah, ketika itu ada panggilan saya terima daripada beberapa pembesar negara yang meminta kebenaran untuk menggunakan aset kerajaan bagi tujuan berkempen. Tetapi saya kata tidak bolehlah.

Jadi SPR cuba sebanyak mana yang mungkin. Saya rasa Sinar Harian pun boleh ingat bagaimana mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu mengadu SPR tidak membenarkan beliau menggunakan helikopter kerajaan bagi tujuan berkempen di Cameron Highlands. Ya, memang saya tidak beri kebenaran.

Jadi terpaksalah beliau menyewa helikopter swasta lain. Memang saya tidak beri kebenaran. Jika kedua-dua pihak membuat aduan terhadap saya, maka saya rasa saya berlaku adil terhadap mereka. Kalau satu pihak sahaja yang buat aduan, tetapi satu pihak lagi memuji saya, maka pasti ada sesuatu yang tidak kena.

Bersenam, jaga makan rahsia kekal kurus

Sepanjang PKP sejak 18 Mac lalu, saya meneruskan senaman seperti biasa. Saya juga suka membaca dan melaksanakan kerja pejabat dari rumah. Kadang-kadang sebelum berpuasa, saya memasak untuk keluarga. Pengalaman memasak sewaktu zaman bujang digunakan sepenuhnya untuk menyantuni keluarga.

Untuk menjalani senaman, saya suka berlari tetapi faktor umur tidak menggalakkan saya berbuat demikian. Justeru, saya lebih suka bersenam menggunakan peralatan basikal senaman dan mengangkat berat.

Saya juga tidak mengambil makanan lain antara dua waktu makan utama.

Pengerusi SPR bukan cita-cita sejak kecil

Saya anggap pelantikan ke jawatan ini sebagai takdir dan kita buat yang terbaik. Tetapi sudah pasti latar belakang pendidikan dalam bidang undang-undang banyak membantu saya dalam melaksanakan tugasan sebagai Pengerusi SPR.

Saya mula terlibat dalam proses pilihan raya pada tahun 2004. Pengalaman pertama saya dalam PRU adalah pada tahun 2004. Anak guam saya yang pertama ialah Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis yang ketika itu bertanding di Parlimen Rompin.

Beliau merupakan ahli Parlimen pertama yang saya bantu untuk menguruskan proses pilihan raya. Pada tahun itu juga saya mula terlibat dalam penyediaan petisyen pilihan raya. Saya sebenarnya peguam Bari-san Nasional (BN) pada masa itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!