Arab Saudi rugi RM51.25 bilion jika tangguh ibadah haji
SHAH ALAM - Kerajaan Arab Saudi dijangka berdepan kerugian mencecah AS$12 bilion (RM51.25 bilion) pada tahun ini sekiranya negara itu memuktamadkan rancangan penangguhan ibadah haji buat pertama kali sejak penubuhan negara Arab Saudi pada tahun 1932.
Menurut laporan media antarabangsa The Financial Times, keputusan itu mungkin dibuat susulan peningkatan mendadak kes pandemik koronavirus (Covid-19) bagi memastikan tindakan penangguhan akan membendung penularannya.
Selain itu, tekanan pemimpin kerajaan Arab Saudi untuk menangguhkan pelaksanaan ibadah tahunan itu semakin kuat susulan keputusan penangguhan beberapa temasya besar dunia seperti Sukan Olimpik Tokyo pada tahun ini.
Media antarabangsa terkemuka itu turut melaporkan seorang pegawai senior daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memberitahu bahawa pemimpin negara itu sedang mempertimbangkan pelbagai kemungkinan dengan ‘satu keputusan akan dibuat dalam tempoh satu minggu’.
“Keputusan itu akan diteliti lebih lanjut dengan pelbagai kemungkinan sedang dipertimbangkan. Satu keputusan formal akan dibuat dalam tempoh seminggu,” kata pegawai berkenaan kepada The Financial Times.
Keputusan terkini yang mungkin dilaksanakan pemimpin kerajaan Arab Saudi dijangka memberi tekanan ekonomi tambahan susulan negara berkenaan masih berdepan dengan implikasi penurunan harga minyak mentah mendadak disebabkan pandemik Covid-19.
Ibadah haji merupakan salah satu amalan ibadah wajib kepada umat Islam yang berkemampuan dan berkeupayaan untuk melaksanakannya sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.
Ibadah haji pada tahun ini sepatutnya bermula dari 29 Julai sehingga 4 Ogos hadapan, bagaimanapun Arab Saudi masih belum menarik kembali larangan perjalanan antarabangsa yang dikuatkuasakan sejak 20 Mei lalu.
Sebagai salah satu acara perhimpunan keagamaan terbesar di dunia, ibadah haji menarik kehadiran lebih dua juta jemaah ke Arab Saudi pada setiap tahun.
Sepanjang pandemik Covid-19, Arab Saudi mencatatkan peningkatan kes wabak itu secara mendadak setelah negara itu bertindak melonggarkan arahan perintah berkurung.
Berdasarkan data John Hopkins University, sejumlah lebih 119,000 kes jangkitan Covid-19 disahkan di Arab Saudi dengan jumlah kematian mencecah 893 orang.
Beberapa negara seperti India, Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand, Brunei dan Malaysia telah membuat keputusan untuk menangguhkan penghantaran jemaah haji ke Arab Saudi pada tahun ini.
Dijangkakan sekurang-kurangnya 200,000 jemaah haji dari India dan 220,000 dari Indonesia terpaksa melupakan hasrat mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.
Bagi Malaysia, Lembaga Tabung Haji (TH) menganggarkan sejumlah 31,600 jemaah haji sepatutnya dihantar ke Arab Saudi pada tahun ini, bagaimanapun ibadat itu ditangguhkan atas nasihat kerajaan.
Kos sebenar untuk menunaikan haji bagi setiap jemaah Malaysia adalah sebanyak RM22,900 dengan baki RM12,920 ditanggung TH, manakala selebihnya berjumlah RM9,980 dibiayai sendiri jemaah haji muassasah TH.
Berdasarkan bilangan jemaah haji dari Malaysia sahaja, kerajaan Arab Saudi berdepan kerugian pendapatan dianggarkan bernilai RM723.64 juta yang sepatutnya diperoleh daripada industri pelancongan berasaskan ibadah haji itu.
Lebih parah, nilai kerugian akibat ketiadaan jemaah dari Malaysia yang akan ditanggung kerajaan Arab Saudi dijangka lebih besar sehingga mencecah hampir RM800 juta pada tahun ini sekiranya negara itu mengambil kira hasil pendapatan daripada kehadiran 130,000 jemaah umrah Malaysia pada setiap tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!