Pelantikan Noh, Khaled petanda baik buat industri maritim
KUALA LUMPUR - Pelantikan Tan Sri Noh Omar sebagai pengerusi baharu MISC Bhd serta Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai pengerusi bukan bebas bukan eksekutif Boustead Holdings Bhd memberi pertanda baik kepada industri maritim.
Pelantikan kedua-dua bekas menteri yang berpengalaman luas ini dapat menjadi saluran untuk industri mengemukakan beberapa isu yang sekian lama membelenggu.
MISC merupakan penyedia terkemuka dunia bagi perkhidmatan dan penyelesaian maritim berkaitan tenaga antarabangsa dengan menjalankan perniagaan antaranya penghantaran tenaga, penyelesaian apungan luar pesisir, pembaikan marin, perkhidmatan marin bersepadu serta perkhidmatan maritim.
Boustead pula menjalankan aktiviti dalam sektor utama ekonomi Malaysia melalui lima bahagian iaitu perladangan, harta dan perindustrian, farmaseutikal, industri berat serta perdagangan, kewangan dan pelaburan.
Di bawah bahagian industri berat kumpulan itu, Boustead Heavy Industries Corporation Bhd terlibat terutamanya dalam industri pembuatan kapal dan pembaikan kapal, kejuruteraan berat serta pengendalian akademi latihan marin.
Pengerusi Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA), Datuk Abdul Hak Md Amin menyambut baik pelantikan itu dan berharap di bawah kepimpinan mereka, industri maritim akan mengatasi cabaran semasa sekali gus muncul lebih ampuh.
“Kami berharap isu mendesak seperti Dasar Kabotaj, sistem cukai, akses mudah kepada dana maritim dan pembangunan modal insan akhirnya dapat ditangani dengan bantuan dan campur tangan mereka, terutama berdasarkan pengalaman luas mereka berdua dalam kerajaan dan hubungan dengan pihak berkuasa,” katanya kepada Bernama.
Mengenai kebimbangan berkaitan pelantikan politik, beliau berkata kehadiran kedua-dua individu itu akan memberi kelebihan memandangkan industri ini memerlukan kalangan mereka yang berpengaruh untuk suara industri lebih diberi perhatian.
“Saya sedar ada kebimbangan berhubung pelantikan politik yang ditimbulkan pelbagai pihak, bagaimanapun, kita harus sedar sektor korporat perlu mematuhi peraturan seperti tadbir urus yang baik serta tanggungjawab fidusiari.
“Bagi syarikat itu, perubahan korporat adalah proses berterusan dalam mana-mana organisasi dan bagi saya, selagi peraturan dipatuhi dan dibantu oleh anggota lembaga pengarah yang bertanggungjawab, saya tidak melihat apa-apa masalah dengan perubahan ini,” katanya.
Abdul Hak berkata pelantikan itu tepat pada masanya kerana kemajuan Pelan Induk Perkapalan Malaysia dilihat lembap, terutama dana perkapalan, yang sudah lama tertangguh dan perlu diteliti semula dengan segera untuk membantu kelangsungan peserta tempatan.
Langkah itu juga demi industri perkapalan memacu di landasannya seiring dengan industri lain di Malaysia.
Mengikut pelan itu, pinjaman mudah RM3 bilion diperuntukkan di bawah Dana Pembangunan Maritim melalui Bank Pembangunan Malaysia, untuk membantu industri berkembang, bagaimanapun peserta industri masih tidak dapat mengakses dana tersebut.
“Isu-isu berlarutan terlalu lama, kecuali jika kerajaan menyelesaikannya tidak lama lagi, akan membawa industri maritim Malaysia menemui jalan buntu.
“Syarikat perkapalan perlu merancang untuk pembangunan jangka panjang dan perbelanjaan modal sangat besar, malah dalam usaha berkembang maju seperti membeli kapal baharu atau pelaburan modal insan, kita perlu mempunyai dasar yang mesra industri dan paling penting mesti bersifat konsisten,” katanya.
Industri ini menjangkakan cukai korporat bagi syarikat perkapalan akan terus dikecualikan selepas 2020 dan ditambah dengan pengembalian semula dasar kabotaj, ini akan membolehkan syarikat perkapalan merancang pelaburan modal masa depan masing-masing.
Insentif-insentif ini juga akan memastikan pemilik kapal terus mendaftarkan kapal mereka di Malaysia dan meningkatkan tanan berdaftar di negara ini.
Beliau menekankan tempoh untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan tidak boleh ditangguhkan lagi memandangkan semua industri termasuk maritim sedang bergelut dengan dua keadaan sukar iaitu pandemik COVID-19 dan harga minyak mentah yang rendah.
“Kami tidak pernah mengalaminya sebelum ini, belum pernah berlaku, dan sukar untuk kami bertahan, namun saya memuji kerajaan atas usaha yang luar biasa menerusi pakej rangsangan ekonomi dan moratorium,” katanya.
Mengulas mengenai unjuran terhadap industri ini, Abdul Hak berkata industri perkapalan telah terjejas teruk ekoran kesan pandemik itu ditambah dengan harga minyak yang rendah mengakibatkan muatan susut ketara.
Syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah mengumumkan pengurangan perbelanjaan modal sebanyak 25 peratus dan tindakan itu akan mempengaruhi peserta huluan.
“Separuh pertama 2020 merupakan tempoh yang amat mencabar bagi kebanyakan pemilik kapal, namun, untuk jangkaan prestasi setahun penuh, kami masih mengumpulkan maklum balas daripada ahli kami,” katanya.
Beliau berkata bagaimanapun, berdasarkan kelonggaran yang diberikan ke atas perintah berkurung atau kawalan pergerakan di kebanyakan negara, dijangkakan dalam tempoh separuh kedua 2020, industri perkapalan dan maritim mencatatkan peningkatan, walaupun untuk kembali normal itu masih jauh untuk dicapai.
“Kami berharap aliran kenaikan harga minyak mentah akan berterusan sehingga mencecah paras sebelum krisis ini berlaku dan berasaskan harga yang lebih tinggi, aktiviti luar pesisir akan dipergiat kembali sekali gus permintaan untuk perkhidmatan sokongan akan bertambah baik," katanya. - BERNAMA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!