'Hidang bertalam, duduk bersila' ketengahkan adat Melayu
IPOH - Orang Melayu memang terkenal dengan cara hidup yang penuh dengan adat istiadat sama ada yang tersurat, mahu pun tersirat dalan kehidupan seharian.
Malah, kebanyakan adat istiadat berkenaan masih lagi diamalkan oleh generasi masyarakat Melayu itu sendiri.
Salah satu adat istiadat berkenaan adalah adat 'hidang bertalam, duduk bersila' ketika menjamu selera di majlis-majlis kenduri atau keraian.
Bagaimanapun adat berkenaan dilihat semakin 'hilang' apabila masyarakat hari ini lebih cenderung menggunakan kaedah hidangan ala bufet di majlis-majlis berkenaan.
Justeru, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Mukim Gunung Semanggol mengambil inisiatif untuk kembali menganjurkan program kenduri kesyukuran dan doa selamat 'hidang bertalam, duduk bersila' di kampung berkenaan, hari ini.
Penganjuran majlis berkenaan sekali gus bertujuan meraikan pengerusi MPKK (ketua kampung) termasuk ahli-ahli jawatankuasa MPKK peringkat Gunung Semanggol yang telah pun menerima watikah pelantikan secara rasmi Disember lalu.
Pengerusinya yang juga Penghulu Mukim Semanggol Zamri Ariffin berkata, penganjuran program berkenaan dibuat agar dapat mengetengahkan semula tradisi adat Melayu lama ini kepada generasi muda hari ini.
Katanya, selain masakan serta kaedah menghidangkan makanan, generasi muda hari ini turut didedahkan dengan suasana keharmonian dan Melayu pada ketika itu.
"Masyarakat hari ini, terutamanya generasi baharu yang sudah tidak dapat merasai suasana keharmonian dan adat Melayu lama ini.
"Oleh itu, kami sepakat untuk mengemukakan semula tradisi dan adat Melayu ini untuk dilihat dan difahami oleh masyarakat atau generasi hari ini," katanya kepada Sinar Harian.
Zamri berkata demikian bagi mengulas penganjuran Kenduri Doa Selamat 'Hidang Bertalam, Duduk Bersila' di rumah pusaka Ketua Kampung/Pengerusi MPKK di Kampung Tua, Mukim Gunung Semanggol hari ini.
Difahamkan, program berkenaan mendapat sumbangan daripada kesemua 14 Pengerusi MPKK Mukim Gunung Semanggol termasuk masyarakat sekitar yang menyokong serta menjayakan setiap program.
Tambah Zamri, penganjuran program berkenaan turut memperlihatkan kepada generasi hari ini terhadap proses-proses kenduri kendara zaman dahulu yang pada kebiasannya dimulai dengan doa selamat, tahlil dan seterusnya acara kenduri yang berskala besar seperti kenduri perkahwinan.
Malah katanya, makanan untuk program ini juga disediakan secara gotong-royong dan memasak dengan hanya menggunakan kayu api sebagai bahan bakar.
"Pada program kali ini, kita ketengahkan masakan tradisional masyarakat Melayu Banjar 'Wadei Kepeng' yang pada kebiasaannya dijadikan makanan pencuci mulut.
"Ini kerana, selain majoriti masyarakat Melayu, Mukim Gunung Semanggol ini turut didiami pelbagai suku kaum masyarakat Melayu seperti Banjar, Jawa, Bugis dan lain-lain," katanya.
Menurut Zamri lagi, segala pelaksanaan program berkenaan dibuat secara gotong royong sepenuhnya dengan kaum wanita diberikan tugasan persiapan tempat, merebus telur, menyiapkan bekas telur, menyiapkan bahan masakan, menyediakan pinggan mangkuk manakala kaum lelaki ditugaskan untuk memasak dan urusan selaku bentara.
Katanya, setelah makanan siap dimasak, ia akan dihidangkan pula dengan cara tradisi Melayu lama iaitu hidangan bertalam dan semua tetamu akan duduk bersila di sepanjang majlis.
"Suasana ini nyata membangkitkan nostalgia, apatah lagi kebanyakan tetamu hadir dengan berpakaian cara Melayu lama," katanya.
Sementara itu, Zamri berkata pihak MPKK Mukim Gunung Semanggol berhasrat untuk menganjurkan lagi program-program yang membangkitkan nostalgia.
Katanya, mungkin selepas ini perkara-perkara lain seperti pakaian tradisional masyarakat Melayu lama, berkhatan beramai-ramai dan sebagainya boleh dianjurkan.
"Secara keseluruhannya, konsep kenduri yang diketengahkan semula di Kampung Tua ini sebenarnya masih relevan dan tidak ketinggalan zaman.
"Terdapat nilai dan unsur positif seperti semangat muafakat, kerja berpasukan, gotong-royong yang masih boleh diteruskan dan dikembangkan di kampung-kampung lain yang berminat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!