Pastikan sektor logistik beroperasi semasa PKP cabaran awal

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
A
A
A

PUTRAJAYA - Memastikan sektor logistik terus beroperasi ketika negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah antara cabaran yang dihadapi Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ketika di awal mengemudi Kementerian Pengangkutan.

Berkongsi pengalaman tersebut dalam temu bual bersama media bersempena 100 hari beliau di kementerian berkenaan, Ka Siong yang dilantik sebagai Menteri Pengangkutan pada 9 Mac berkata susulan pelaksanaan PKP bagi menangani penularan wabak Covid-19, sektor logistik berhadapan kesukaran dalam proses penghantaran barangan.

Malaysia menguatkuasakan PKP mulai 18 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19 yang kemudiannya disusuli dengan PKP Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei dan terbaru PKP Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos.

Ka Siong berkata, cabaran paling besar ketika PKP bagi sektor logistik adalah bagaimana untuk memastikan barangan boleh sampai ke destinasi tanpa sebarang gangguan.

“Cabaran lain ketika itu adalah untuk mengembleng sumber tenaga dan meyakinkan pemain sektor logistik untuk beroperasi kerana ketika itu terdapat dakwaan Covid-19 boleh menular melalui udara.

"Jadi kami kena cepat berbincang dengan pemegang taruh dan syarikat logistik untuk pastikan mereka dapat bekerja seperti biasa," katanya.

Pada ketika itu juga, katanya Kementerian Pengangkutan perlu memastikan pelabuhan terus beroperasi dengan melakukan "pembersihan" selang lima hari sekali, manakala kontena yang tertunggak di kawasan pelabuhan terpaksa dibawa keluar ke tempat lain untuk membolehkan kontena untuk eksport dapat dihantar ke pelabuhan.

"Tindakan yang dibuat telah membuatkan semua pemegang taruh lega kerana sebelum ini mereka risau mengenai bekalan bahan mentah untuk mereka membuat barangan. Pelabuhan adalah antara tempat paling strategik... jadi sejak PKP kita pastikan ia tidak berhenti beroperasi walaupun sehari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ka Siong berkata, keputusan pantas kerajaan membeli 50 juta keping penutup hidung dan mulut dari China dan membawa barangan itu ke Malaysia menerusi pesawat adalah tindakan yang tepat dalam memenuhi keperluan petugas barisan hadapan dan pengguna selain membantu menangani kenaikan harga yang mendadak.

"Saya masih ingat ketika kita dikejutkan harga penutup hidung dan mulut telah naik hingga RM2.50 ke RM3 sekeping dan Kementerian Pengangkutan mencadangkan kepada Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pada masa itu adalah perlu gunakan MAS Kargo dan pesawat lain yang tidak beroperasi untuk mengangkut barangan itu," katanya.

Beliau berkata, khidmat penerbangan digunakan ketika itu kerana khidmat menerusi pelabuhan tidak dapat membekalkan penutup hidung dan mulut dalam tempoh yang cepat serta banyak kapal tidak dapat beroperasi susulan sekatan pergerakan yang turut dilaksanakan beberapa negara.

Ka Siong juga berkata, sektor penerbangan antara yang paling terkesan akibat penularan wabak Covid-19 yang menyaksikan kapasiti penumpang merosot.

"Pada satu masa kita menguruskan penumpang domestik hanya tiga peratus daripada jumlah penumpang (pada waktu) biasa manakala penumpang antarabangsa kurang dua peratus kerana kebanyakan pesawat tidak lagi terbang (beroperasi) atau penerbangan dibatalkan.

"Jadi kita fikirkan bahawa tidak boleh hentikan semua penerbangan kita, kena buat secara terpilih dan apakah cara untuk kita beri mod pengangkutan kepada rakyat khususnya dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak (dan sebaliknya),” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada pengusaha pengangkutan awam yang tidak menghentikan operasi mereka sejak PKP dilaksanakan walaupun jumlah penumpang merosot sehingga 90 peratus.

"Walaupun jumlah penumpang tidak ramai tapi kita tetap pastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan memastikan semua proses nyahcemar dilakukan walaupun beroperasi dalam keadaan yang rugi, kerana bagi golongan B40 terutamanya, mereka tiada pilihan lain selain menggunakan perkhidmatan awam," katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!