Perniagaan di Rantau Panjang kembali rancak

Urus niaga di 'syurga' membeli belah di zon bebas cukai Rantau Panjang kembali rancak selepas PKPP dilaksanakan.
Urus niaga di 'syurga' membeli belah di zon bebas cukai Rantau Panjang kembali rancak selepas PKPP dilaksanakan.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Urus niaga di 'syurga' membeli-belah di zon bebas cukai Rantau Panjang kembali rancak selepas premis di kawasan berkenaan yang ditutup sejak tiga bulan lalu ekoran negara berdepan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Pengerusi Persatuan Perniagaan Melayu Rantau Panjang, Ramli Abdullah berkata, orang ramai mula membanjiri kawasan tersebut selepas kerajaan menarik balik sekatan rentas negeri yang berkuatkuasa sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Alhamdulillah zon bebas cukai Rantau Panjang kembali menjadi tumpuan bukan sahaja warga tempatan malah anak-anak perantau yang pulang ke kampung turut datang membeli-belah di sini.

"Semalam, kita menerima kehadiran di luar jangkaan dan situasi ini melegakan peniaga di sini," katanya.

Ramli (kiri) berkongsi kegembiraan dengan peniaga lain selepas menerima kebanjiran pelanggan ke zon bebas cukai tersebut.
Ramli (kiri) berkongsi kegembiraan dengan peniaga lain selepas menerima kebanjiran pelanggan ke zon bebas cukai tersebut.

Katanya, perniagaan berkenaan secara tidak langsung menggerakkan semula ekonomi di zon bebas cukai Rantau Panjang yang merudum sepanjang PKP baru-baru ini.

Tinjuan Sinar Harian mendapati peniaga di kawasan itu tidak menang tangan melayan pengunjung yang kembali membanjiri zon bebas cukai itu.

Sinar Harian 14 Jun lalu melaporkan pendapatan peniaga di 'syurga' membeli-belah di zon bebas cukai Rantau Panjang susut sehingga 90 peratus sejak penularan wabak Covid-19 melanda negara ini.

Artikel Berkaitan:

Peniaga mendakwa kerajaan melonggarkan peraturan dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun masih belum dapat merancakkan semula aktiviti perniagaan di kawasan bebas cukai terkenal itu.

Sementara itu, Zamri Idris berkata, para peniaga di sini tetap menitik beratkan aspek keselamatan dan kebersihan dalam mengekang penularan Covid-19.

Katanya, peringatan berkaitan dengan prosedur operasi standart (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan sentiasa dititik beratkan kepada para pelanggan.

"Kita mahu menang sepenuhnya melawan wabak ini agak seluruh negara kembali pulih seperti sedia kala," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!