Caj gunting rambut tinggi, KPDNHEP keluar 633 notis

Rosol (dua dari kanan) meninjau premis gunting rambut di sekitar bandaraya Kuala Terengganu, hari ini.
Rosol (dua dari kanan) meninjau premis gunting rambut di sekitar bandaraya Kuala Terengganu, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan sebanyak 633 notis tunjuk sebab terhadap pengusaha premis dandanan rambut di seluruh negara ekoran kenaikan caj dikenakan kepada pelanggan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, Notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bermula 10 Jun lalu bagi mendapatkan keterangan lanjut berhubung kenaikan harga perkhidmatan yang ditawarkan.

Katanya, kesemua pengusaha premis terbabit perlu menjawab notis berkenaan dalam tempoh tiga hingga lima hari dan akan dikompaun sekiranya gagal berbuat demikian.

“Saya difahamkan setiap premis dan perkhidmatan menawarkan harga berbeza tetapi ada juga aduan tidak rasmi kenaikan sekali ganda.

“Kalau harga biasa dari RM20 naik sehingga RM30, kita akan beri notis. Mereka juga perlu menyemak semula jika tidak boleh memberikan justifikasi yang betul terhadap harga yang ditawarkan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Rosol berkata, perubahan harga bagi perkhidmatan itu sudah diramal kerana terdapat pertambahan peralatan yang perlu digunakan.

“Kita telah menjangka berlaku kenaikan harga bagi perkhidmatan ini namun perlu munasabah serta tidak membebankan pengguna.

"Caj tambahan yang dibenarkan hanya dua item iaitu alas gunting rambut pakai buang dan set sarung tangan.

Artikel Berkaitan:

"Pemantauan berterusan akan dilakukan bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan terhadap pengguna.

“Selain itu, kita sarankan pengusaha menggunakan aplikasi mudah alih ‘price catcher’ yang memaparkan perbandingan harga barangan bagi memudahkan pengguna mendapatkan harga terkini yang ditawarkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!